Sesi Read & Relax Siri 5/2020 diteruskan pada tarikh 5 Mac 2020 bertempat di Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah. Sesi kali ini menampilkan 3 orang pengulas yang telah berkongsi bahan bacaan mereka yang cukup menarik.
Pengulas pertama Dr. Fadzlin Binti Mohd. Sairan, Pegawai Penyelidik Kanan daripada Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi). Dr. Fadzlin telah berkongsi buku yang bertajuk “Japanese ecosophy : a traveller’s note” hasil karya Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, mantan Naib Canselor UTM. Buku ini menceritakan tentang budaya dan cara hidup masyarakat Jepun yang sangat lestari mengikut pandangan pengarang. Menurut pengulas, walaupun pengarang merupakan seorang profesor, tetapi penceritaan buku ini sangat santai seperti “traveler’s notes”. Buku ini banyak menceritakan tentang peristiwa, cerita, perbualan tentang nilai, sikap, tabiat, karaktor dan budaya masyarakat Jepun ke arah persekitaran yang mampan. Sebagai contoh, walaupun negara Jepun adalah pengeluar kereta terbesar, tetapi majoriti penduduknya lebih cenderung berjalan kaki. Masyarakat Jepun sangat mengutamakan pemakanan yang sihat dan seimbang, budaya hormat-menghormati yang sangat tinggi, bersih, dan bersistematik. Sistem pendidikan awal di sana tidak menekankan tentang akademik semata tetapi cara hidup untuk berdikari. Pengulas sangat terkesan dengan semangat masyarakat Jepun yang sangat prihatin apabila berlakunya gempa bumi atau tsunami yang menyebabkan kemusnahan teruk, mereka akan bersama-sama mengemas semula tempat tersebut menjadi seperti sedia kala. Masyarakat Jepun sangat rajin dan bekerja keras dalam setiap pekerjaan mereka. Pengulas menekankan agar khalayak pendengar pergi ke Jepun untuk melihat sendiri ketinggian budaya mereka. Namun begitu, setiap yang positif akan ada juga yang negatif. Walau di mana jua kita berada, terapkan yang positif, manakala jadikan yang negatif sebagai sempadan.
Pengulas yang kedua adalan Puan Syerafina Binti Sarapol, Pegawai Tadbir dari Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi). Buku yang dikongsikan adalah hasil karya Prof Muhaya yang bertajuk “Relaks dan Senyum”. Sesuai dengan judulnya, naskhah ini bercerita tentang stres dan pengurusannya, serta tips untuk hidup dengan lebih tenang dan bahagia. Rasa ego, bangga diri perlu diinjak sampai lumat tidak bersisa kerana inilah asal punca kepada masalah stres. Pengurusan stres perlu dipelajari kerana untuk mendapatkan ketenangan bukan suatu perkara yang mudah. Setiap hari kita didatangi oleh pelbagai masalah dengan bebanan yang berbeza. Antara tip yang dikongsikan adalah keperluan kita bermuhasabah untuk setiap perkara yang telah dan akan kita lakukan, serta sentiasa positif supaya kita mampu tenang dan relaks dalam hidup. Naskhah ini sedikit sebanyak dapat membantu kehidupan pengulas dalam menjalankan tugas harian dan mengawal tahap stres. Perkara yang dirasakan kecil itu adakalanya memberi impak yang besar dalam kehidupan. Justeru ,didikan dan penerapan ilmu agama dapat menepis dan menghindari gejala yang buruk.
Pengulas yang terakhir adalan Encik Faizal Bin Wakiman, Jurutera daripada jabatan Harta Bina. Encik Faizal telah berkongsi buku yang bertajuk “Saya bukan Ustaz, tapi baru nak ‘start'” hasil karya Ustaz Syamsul Debat. Buku ini banyak mengisahkan tentang dakwah dan pesanan terutamanya kepada pasangan suami isteri dalam melayari bahtera rumahtangga. Pengulas berkongsi tentang 4 perkara yang perlu ada dalam diri seseorang untuk menjadi manusia hebat iaitu pertama (1) kenderaan yang hebat – merujuk kepada akal fikiran. Akal fikiran manusia merupakan kenderaan yang memacu jiwa dan raga. Yang kedua (2), rumah yang luas – membawa maksud kesabaran yang tinggi. Yang ke tiga (3), pakaian yang cantik – itulah akhlak yang baik dan disenangi dalam pergaulan kita seharian. Yang keempat (4), lampu yang terang – dakwah yang menerangi dan memimpin jalan hidup seorang muslim. Pengulas mengambil kisah pasangan suami isteri yang adakalanya menguji kesabaran dan bagaimana untuk mengatasinya dengan berhemah. Pengulas sangat terkesan dengan nasihat penulis agar membuang sifat hasad dengki, sombong dan tamak. Tanamkan semangat tolong menolong dan hindari hasad dengki. Buang sifat sombong dan sentiasa bersyukur dengan bantuan orang di sekeliling kerana kejayaan kita hari ini mungkin di atas doa dan ihsan mereka. Sifat tamak hadir apabila kita mempuanyai sesuatu yang orang lain tiada. Justeru, dengan rasa rendah diri, kongsikan rezeki, ilmu serta kelebihan kita dengan insan lain yang memerlukan.
Semoga sedikit sebanyak ilmu yang dikongsikan dapat memberi manfaat kepada semua.
Artikel disediakan oleh Pn Norashikin Johari