Pusat Islam UTM telah menganjurkan Minggu Rahmatan Lil A’lamin sempena sambutan Maulidur Rasul. Program ini telah berlangsung pada 17 hingga 23 November 2019. Perpustakaan UTM telah mengambil peluang bersinergi dengan menganjurkan program Read & Relax dengan tema “Hak Wanita”.
Program ini menampilkan dua orang ahli panel yang dijemput khas iaitu Pn. Khairulbahiyah Yaakub, Timbalan Pustakawan, Perpustakaan UTM yang menyentuh tentang hak wanita dalam pendidikan, manakala ahli panel kedua pula adalah Pn. Noor Hadayah Hj Ahmad, Pegawai Psikologi Kanan, Pusat Kaunseling UTM yang mengupas tentang hak wanita dalam perkahwinan. Program dikendalikan oleh Dr Siti Nisrin Mohd Anis selaku Moderator.
Pn. Khairulbahiyah berkongsi naskhah yang bertajuk I am Malala. Naskhah ini menceritakan tentang perjuangan hak wanita dalam pendidikan melalui seorang wanita bernama Malala Yousafzai. Beliau dilahirkan di Pakistan pada 1997. Seawal usianya 10 tahun, Malala sudah mula memperjuangkan hak anak-anak perempuan untuk bersekolah dan sering mempersoalkan diskriminasi terhadap wanita dalam pendidikan. Sebagai remaja yang begitu peduli dengan dunia pendidikan, Malala menulis blog untuk British Broadcasting Corporation (BBC) yang menceritakan keperitan hidup di bawah ancaman Taliban. Keberanian dan kelantangannya dalam perjuangan telah menjadikannya sebagai sasaran Taliban. Pada 2012, setelah menerima beberapa ugutan bunuh, beliau ditembak dari jarak dekat tepat di kepala. Beliau telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan segera dan akhirnya dipindahkan ke Birmingham akibat komplikasi yang serius. Peristiwa tragis ini telah mendapat perhatian dunia dan ramai pihak yang mengutuk serangan terhadap Malala. Pada 2014, beliau telah dinobatkan sebagai penerima The Nobel Peace Prize pada usia 17 tahun. Usaha beliau di dalam memperjuangkan pendidikan wanita mendapat perhatian dan sokongan dunia sehingga pada 2013, dia diberi penghormatan berpidato oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menerbitkan buku pertamanya berjudu I am Malala. Beliau juga telah menerima penghargaan Nobel Perdamaian dan wang sumbangan tersebut disalurkan sepenuhnya kepada Yayasan Malala.
Pn. Noor Hadayah pula memberi fokus tentang hak wanita dalam perkahwinan. Mengambil kira pengalaman beliau sebelum ini sebagai peguam syariah negeri Johor, maka buku yang disampaikan dengan tajuk Panduan Nafkah Dalam Perkahwinan dilihat sangat tepat untuk dikongsi. Buku ini memberikan panduan tentang hak wanita dalam perkahwinan. Ia mengupas tentang tiga (3) hak wanita yang dinyatakan secara jelas iaitu yang pertama hak sebelum berkahwin, hak dalam perkahwinan dan hak selepas perkahwinan. Pengulas suka untuk mengingatkan bahawa ramai di antara kita yang berlumba-lumba untuk memperjuangkan hak wanita, tetapi lupa untuk bertanya pada diri sendiri tentang amanah yang telah dipertanggungjawabkan di atas bahu sendiri. Pengulas menegaskan betapa pentingnya blueprint dalam rumahtangga, ia mungkinnampak tidak signifikan tetapi boleh memberi kesan yang besar dalam perjalanan rumahtangga. Turut disentuh adalah isu isteri berkerja dengan izin suami, sedekah isteri untuk keperluan keluarga, dan hak anak yang perlu diperjuangkan. Hak sebagai wanita itu perlu dipertahankan, tetapi jangan sampai jadi wanita yang hilang malunya. Apabila seorang wanita itu menjaga kehormatannya, maka Allah akan sentiasa memelihara serta melindunginya.
#MalaysiaMembaca
#UTMMembaca
#UTMRead
Disediakan oleh Puan Norashikin Binti Johari.