Oleh Sharifah Ezzathul Imma Syed Zainal Abidin

Mesyuarat Jawatankuasa Ketua Pustakawan Universiti Awam Bil. 02/2020 telah diadakan pada 21 Julai 2020 di Dewan Jumaah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Puan Noraziah binti Sharuddin, Ketua Pustakawan UTM dan dihadiri oleh 19 orang Ketua Pustakawan Universiti Awam yang lain.

Pada awal program, pengerusi telah membentangkan satu perkongsian bertajuk Malaysia Open Science. Malaysia Open Science adalah satu inisiatif yang dibangunkan oleh MOSTI dan digerakkan bersama Akademi Sains Malaysia. Tujuan inisiatif ini diperkenalkan adalah untuk membolehkan kebolehaksesan dan perkongsian data penyelidikan selaras dengan keutamaan nasional dan amalan terbaik antarabangsa.

Antara perkara yang ditekankan adalah apakah peranan pustakawan, bagaimana pustakawan harus memposisikan diri, kepentingan pustakawan dalam menjaga aset penyelidikan dan yang utama keperluan pustakawan untuk menambahnilai kompentensi baharu.

Mesyuarat diakhiri dengan sesi Pemilihan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Ketua Pustakawan Universiti Awam untuk sesi yang baharu. Mesyuarat telah bersetuju melantik Puan Mazmin Mat Akhir Ketua Pustakawan UniMap untuk menjadi Pengerusi yang baharu dan akan dibantu oleh Encik Azman Hashim (UMK) sebagai Timbalan Pengerusi 1 dan Puan Noraziah Sharuddin (UTM) sebagai Timbalan Pengerusi 2. Tahniah diucapkan kepada kepimpinan baharu, diharapkan barisan Jawatankuasa ini dapat dilaksanakan dengan kepimpinan yang berwibawa dan membantu menjulang bidang kepustakawanan ke arah yang lebih cemerlang.

 

 

 

 

Share this :