Sempena Hari Merdeka (31 Ogos 2020) dan Hari Malaysia (16 September 2020), Perpustakaan UTM telah mengadakan Program Sembang Merdeka “Malaysia Kita Punya” bersama En. Thaqib Bin Shaker sebagai panel jemputan.

Beliau telah mendapat pendidikan awal di Malaysia, dan seterusnya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di Universiti Gediz, kota Izmir, Republik Turki pada tahun 2013 dan kemudiannya di Universiti Yasar pada tahun 2015 di dalam jurusan Sarjana Perhubungan Antarabangsa.

Aktif dalam hal berkaitan bantuan kemanusiaan, beliau telah membantu pelarian Syria dengan menubuhkan pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Sejagat (UNIAID) yang didaftarkan di Kuala Lumpur pada 11 Jun 2016. Pertubuhan UNIAID telah menjalankan lebih daripada 50 buah program bantuan pelarian Syria, telah mempunyai sekurang-kurangnya 120 sukarelawan daripada 35 buah negara dan turut mendapat liputan daripada media Turki, Sepanyol dan Malaysia.

Dalam bidang penulisan, beliau telah membuat penulisan di akhbar Harian Metro dan Sinar Harian. Beliau juga telah menerbitkan enam buah buku. kesemua buku-bukunya telah mendapat liputan yang meluas dan sambutan yang memberansangkan daripada pembaca di Malaysia, Brunei, dan Indonesia. Kini beliau merupakan Pegawai Perhubungan Awam di Pusat Sains & Kebudayaan Rusia, Kedutaan Besar Persekutuan Rusia di Malaysia.

Pengalaman beliau yang pernah belajar di Turki dan sebagai sukarelawan yang terlibat dengan misi bantuan ke beberapa buah negara memberi banyak pengajaran dalam mengenal jati diri. Bangga menjadi anak Malaysia dan berpendirian tegas menyuntik semangat beliau untuk menulis. Beliau berpandangan “Buku adalah legasi untuk setiap manusia”, dimana pengalaman yang dilalui secara tersirat perlu dikongsi untuk kebaikan bersama dan perlu untuk diingati.

Perkongsian menarik dari seorang anak muda Malaysia dengan energi semangat yang tinggi dan seterusnya membawa nama Malaysia ke mata dunia luar. SYABAS dan terima kasih kerana sudi hadir berkongsi pengalaman.

Share this :