Galerium UTM adalah hasil gabungan unik konsep galeri dan muzium yang bertanggungjawab memelihara khazanah warisan  UTM.  Selain Galerium UTM yang merupakan galeri utama, terdapat beberapa galeri lain yang turut diletakkan di bawah tadbir urus Perpustakaan UTM iaitu Galeri Raja Zarith Sofiah, Galeri Tokoh Penyelidik, Galeri Koleksi Khazanah Intelektual Johor, Galeri Tangga Ilmu, Galeri Terbuka dan Galeri@UTMKL.

Galerium UTM

Galerium UTM merupakan galeri utama yang menempatkan beberapa galeri kecil yang lain seperti Galeri Warisan Universiti, Galeri Mikrofilem, Galeri Teknologi Maklumat dan Galeri Pandang Dengar.

Antara artifak yang dipamerkan  adalah peralatan yang digunakan oleh staf dan pelajar UTM dalam menyokong proses pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan sekitar era 1970-an sehingga 1990-an.

Galeri Tangga Ilmu

Galeri Tangga Ilmu pula menempatkan himpunan khazanah yang bertemakan Majlis Konvokesyen UTM yang merangkumi  sejarah Adat Istiadat Konvokesyen dan paparan muka hadapan buku Konvokesyen UTM bermula daripada Majlis Konvokesyen pertama sehingga ke-40. Bahan tersebut dipamerkan dalam format poster di dinding sepanjang laluan tangga aras 2 dan 3.

Galeri Terbuka

Galeri Terbuka pula terletak di ruang foyer Aras 3, Bangunan Perpustakaan UTM. Ruang ini dibuka khusus untuk penganjuran pameran bertema secara berkala anjuran Perpustakaan UTM atau kolaborasi bersama pihak luar. Konsep Galeri Terbuka ini juga terdapat di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, UTM Johor Bahru.

Galeri Raja Zarith Sofiah

Galeri Raja Zarith Sofiah terletak di Aras 2, Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, UTM Johor Bahru. Galeri ini menghimpunkan sejumlah koleksi bahan bacaan peribadi Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah Al Mutawakkil Alallahi Shah yang disumbangkan sendiri oleh Tuanku Canselor UTM.

Galeri Tokoh Penyelidik

Galeri Tokoh Penyelidik juga terletak di Aras 2, Perpustakaan Raja Zarith Sofiah yang mempamerkan pelbagai koleksi bahan berkaitan penyelidikan mengikut bidang kepakaran bagi tokoh penyelidik yang terpilih dan terulung di peringkat tempatan dan antarabangsa. Antara koleksi bahan penyelidikan yang dipamerkan adalah seperti bahan bacaan, anugerah, sijil pengiktirafan, model, poster, video dan lain-lain media yang berkaitan. Pameran yang sedang berlangsung di Galeri Penyelidik kini adalah hasil penyelidikan saintis tersohor UTM dalam bidang tindak balas kimia iaitu Profesor Ir. Dr. Nor Aishah Saidina Amin.

Galeri Koleksi Khazanah Intelektual Johor

Galeri Koleksi Khazanah Intelektual Johor yang terletak di aras 1, Perpustakaan Raja Zarith Sofiah dibangunkan khusus untuk menyimpan dan memperkasakan sumber maklumat  yang berkaitan negeri Johor. Usaha ini dilaksanakan bagi menyokong dasar kerajaan negeri Johor untuk muncul sebagai Pusat Kebudayaan Melayu berkepentingan global. Justeru, Perpustakaan UTM mengambil peranan sebagai pusat rujukan kesarjanaan ilmu negeri Johor untuk generasi akan datang.

Share this :