Bersempena dengan program Research Week 2020, Perpustakaan UTM telah menjemput Prof. Madya Dr. Yeong Che Fai, Sekolah Kejuruteraan Elektrik. Beliau juga terlibat di dalam industri robotik secara langsung dengan tertubuhnya syarikat DF Automation & Robotics. Syarikat ini merupakan hasil pengamatan beliau terhadap beberapa kesukaran dalam mengkomersialkan produk robotik hasil penyelidikan universiti untuk pasaran industri dalam dan luar negara. Sehingga kini, syarikat beliau memiliki tiga cawangan dengan menghasilkan 300 produk robotik.

Pandemik COVID-19 yang melanda telah menyebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melarang hampir kesemua aktiviti luar, perkhidmatan kerajaan dan perniagaan kecuali yang benar-benar kritikal bermula 18 Mac 2020. Pada ketika itu, kes jangkitan telah meningkat dengan kadar yang amat mendadak dan merisaukan petugas kesihatan di kesemua hospital. Beberapa langkah keselamatan telah digariskan sebagai panduan oleh KKM untuk petugas kesihatan seperti pemakaian Personal Protective Equipment (PPE) dan penjarakan sosial sebagai langkah untuk mengelakkan risiko jangkitan.

Perkara ini telah mendapat perhatian Dr. Yeong Che Fai dan pasukan kerjanya. Oleh itu, pasukan kerja ini telah membangunkan sebuah robot khusus untuk membantu petugas baris hadapan di kementerian kesihatan yang diberi nama MAKCIK KIAH 19. Beberapa siri rundingan dengan pihak kerajaan dijalankan supaya robot ini dapat digunapakai secara rasmi di hospital terpilih. Robot yang telah diubahsuai semula daripada rekabentuk asal berfungsi menggantikan petugas kesihatan dalam mengagihkan makanan kepada para pesakit. Hasilnya, ia dapat mengurangkan kontak di antara petugas kesihatan dan pesakit sekaligus membantu untuk memutuskan rantaian jangkitan di hospital.

Nama MAKCIK KIAH 19 dipilih sebagai nama produk adalah rentetan daripada ucapan Perdana Menteri Malaysia ketika menyampaikan maklumat mengenai bantuan kerajaan yang akan disampaikan kepada rakyat. Melihatkan kepada gelaran Makcik Kiah itu amat dekat di hati rakyat, maka nama itu dipilih sebagai nama produk tersebut. Kesan ketara yang dapat dilihat daripada penggunaan robot ini di hospital ialah penjimatan penggunaan PPE yang amat terhad dan juga pengurangan kontak rapat di antara pesakit dan petugas kesihatan.

Kejayaan MAKCIK KIAH 19 membantu petugas kesihatan di hospital mendapat perhatian pihak pengurusan pusat kuarantin yang dibina di MAEPS Serdang dengan meminta pasukan kerja Dr. Yeong Che Fai untuk menghasilkan robot bagi kegunaan di pusat kuarantin berkenaan. Kapasiti di pusat kuarantin di MAEPS yang besar dan menempatkan lebih 400 katil pesakit amat menyukarkan pengagihan makanan kepada pesakit. Oleh itu, Robot Dol-E dihasilkan bagi memenuhi keperluan di MAEPS dalam memastikan tidak berlaku kontak rapat antara petugas dan pesakit. Sebagai nilai tambah kepada MAKCIK KIAH 19, model robot terbaru yang diberi nama MAKCIK KIAH 20 telah dihasilkan dengan rekabentuk yang lebih kompak dan sesuai digunakan di hospital memandangkan ruang hospital yang terhad.

Prof. Madya Dr. Yeong Che Fai turut berkongsi pandangan dan cabaran getir yang dihadapi oleh perniagaan yang diusahakan semasa PKP dalam memastikan 60 orang pekerjanya tidak hilang perkerjaan. Beliau menekankan bahawa pemikiran yang positif dan sentiasa berpandangan jauh amat penting dalam memastikan kelangsungan syarikat untuk terus beroperasi meskipun dengan kekangan yang dilaksanakan. Beliau mengakui secara tidak langsung bahawa impak pandemik COVID-19 turut membantu mengembangkan industri robotik dalam negara kerana pihak industri mula mempertimbangkan peralihan sumber tenaga kerja daripada berasaskan manusia kepada robot.

Diaju soalan mengenai potensi penggunaan robot di dalam perkhidmatan perpustakaan. Prof. Madya Dr. Yeong Che Fai menyatakan bahawa ia boleh diaplikasikan secara berperingkat. Sebagai permulaan, beliau mencadangkan pihak pengurusan untuk melihat proses kerja yang paling kritikal di dalam perpustakaan. Dari situ, kajian boleh dijalankan secara kerjasama untuk melihat kaedah-kaedah penyelesaian yang boleh dilakukan secara robotik.

Turut menerima soalan berkaitan peranan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan industri dalam membantu pengembangan indusri robotik. Prof. Madya Dr. Yeong Che Fai menyatakan bahawa budaya pemikiran yang berbeza di antara IPT dan industri menyebabkan industri robotik agak sukar berkembang pesat di dalam negara. Sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam industri robotik, beliau sentiasa cuba menghubungkan antara IPT dan industri dan pelajarnya melalui siri jemputan ceramah dan perkongsian oleh pihak-pihak dari industri di Malaysia. Ia bertujuan untuk memberi gambaran kepada pelajar beliau tentang realiti sebenar yang berlaku di dalam industri pelbagai di Malaysia.

Prof. Madya Dr. Yeong Che Fai memberi komen kepada soalan yang diajukan mengenai trend terkini ibu bapa menghantar anak-anak (6 tahun – 12 tahun) ke kelas tambahan seperti kelas robotik untuk menambah dan meningkatkan kreativiti dan imaginasi. Menurut beliau, ibu bapa yang menyuruh anak mereka untuk meneroka bidang robotik di mana ia tidak seharusnya berlaku dalam keadaan memaksa. Sebaliknya, ia perlu dipupuk dengan minat kerana setiap anak adalah berbeza dari segi kecenderungan dan minat mereka. Turut ditanya mengenai menceburkan diri dalam bidang perniagaan, Prof. Madya Dr. Yeong Che Fai menekankan bahawa untuk memulakan perniagaan perkara yang paling penting bukanlah idea dan wang, sebaliknya pasukan kerja. Hal ini kerana untuk bertahan di dalam perniagaan, pasukan kerja yang baik adalah amat penting untuk menyokong di antara satu sama lain.

Akhir program, Prof. Madya Dr. Yeong Che Fai telah memberikan kesimpulan bahawa industri robotik di dalam negara kita boleh berkembang pesat setaraf dengan negara-negara maju yang lain. Untuk itu, ia memerlukan perubahan budaya dan sikap berfikir kita supaya dapat menerima perubahan kerana perubahan sentiasa berlaku dengan pantas dan sekiranya kita tidak bersedia untuk berubah, kita akan ketinggalan.

Rapporteur: Akmal Alif Bin Amran

 

 

Share this :