Perkongsian Drone for Serious Hobbyist oleh tetamu jemputan Dr. Jaysuman Pusppanathan bersempena UTM Library Research Week 2020 telah diadakan pada 23 September 2020 (Rabu) jam 2.30 petang hingga 4.30 petang. Moderator program adalah Encik Mohd. Fuad bin Mohamed Yusof.

Dr. Jaysuman Pusppanathan merupakan Pensyarah Kanan di Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan (SKBSK), Fakulti Kejuruteraan, UTM. Bidang pengkhususan beliau adalah  Tomografik Elektrik Industri Proses dan Industri Perubatan. Dr. Jaysuman juga merupakan Felo Penyelidikan di Institute of Human Centered Engineering (iHumEn). Beliau juga merupakan ahli Projek Geran Ikonik UTM (Drone) dan Presiden Kelab Dron Selatan Johor Bahru (Southern Drone Club). Antara pencapaian tertinggi beliau ialah sebagai top 16 drone terpantas di dalam Kejohanan Multi GP Drone Racing 2017 dan tempat Ke-9 di Kejohanan Liga Dron Asia bertempat di Iskandar Puteri, Johor Bahru 2019.

Dron merupakan hobi yang semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat dan topik ini sangat sesuai untuk dikongsikan. Perkataan DRONE berasal daripada singkatan Dynamic Remotedly Operated Navigation Equipment. Minat Dr Jaysuman terhadap dron bermula semasa beliau melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di UTM.  Beliau diperkenalkan oleh rakan dan juga pengaruh filem sains fiksyen dari luar negara seperti Star Wars menambahkan lagi minat beliau terhadap dron. Koleksi dron pertama beliau adalah dron manual yang dipasang sendiri.

Dron pada asalnya kerap digunakan dalam aktiviti ketententeraan. Namun begitu, dengan peredaran teknologi yang semakin pesat mengiringi zaman IR 4.0, dron kini telah digunakan secara meluas dan penggunaannya semakin diperlukan. Spesifikasi dron juga telah diintegrasikan bersama teknologi lain seperti IoT (Internet of things), AI (Artificial Intelligence) dan juga Image processing. Dr. Jaysuman sendiri menggelarkan dron sebagai “flying robots”.

Kepada mereka yang baru berjinak dengan dron, adalah disarankan untuk menggunakan dron komersial yang secara asasnya dilengkapi dengan alat kawalan jauh/radio dan juga bateri yang boleh dicas semula. Dron ini juga boleh dibina cara manual, dengan membeli bahagian-bahagian pada dron dan digabungkan sendiri mengikut kehendak pengendali dron. Harga dron bergantung kepada jenama dan spesifikasi yang dimiliki pada setiap dron itu sendiri. Bagi pengguna yang baharu, anda dinasihatkan untuk bermula dengan dron yang murah kerana kemahiran mengawal dron bukan mudah. Ia berisiko untuk terhempas, melanggar objek dan akan menyebabkan kerosakan dan kerugian. Kesukaran untuk mendapatkan alat ganti juga adalah salah satu masalah. Dron yang dibina sendiri lebih ekonomi, jika satu bahagian rosak maka hanya bahagian itu sahaja yang perlu diganti.

Terdapat beberapa jenis dron iaitu Multi Rotor Drones, Fixed Wing Drones, Fixed Wing Hybrid VTOL, dan Underwater Drones.  Selain sekadar hobi, dron juga digunakan bagi aktiviti pemetaan geografi, pertanian, kejuruteraan, kawalan bencana dan perkhidmatan penghantaran.

Walaupun penggunaannya telah meluas, ada beberapa langkah yang perlu diambil perhatian oleh pemilik dron iaitu tentang aspek keselamatan semasa menerbangkan dron dan juga kawasan yang dilarang supaya terhindar daripada masalah atau kemalangan di kalangan orang awam. Antaranya adalah tidak menerbangkan dron di kawasan orang ramai, menepati had ketinggian yang ditetapkan serta memastikan dron berada dalam radius yang ditetapkan.

Aktiviti ini mula mendapat tempat dalam kalangan generasi muda. Malah Dr. Jaysuman sendiri merupakan Pengarah kepada Program Drone Edu Challenge yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah menengah. Aktiviti ini memberikan impak yang positif kepada pembangunan dan perkembangan kreativiti anak muda. Semoga suatu hari nanti teknologi ini mampu diperluaskan dan memberi manfaat kepada kehidupan seharian.

Rapportuer: Shaliza Md. Yusos

 

 

 

 

Share this :