Perkongsian buku oleh Staf Perpustakaan UTM Kuala Lumpur pada 30 September 2020 (Rabu), jam 10 pagi di Wisdom Lounge, Perpustakaan UTM KL telah diteruskan untuk siri 9 dengan menjemput dua orang staf perpustakaan iaitu En. Mohd Rizal Bin Man dan Pn. Norzilah Binti Abdul Aziz.
Perkongsian dimulakan dengan En. Mohd Rizal Bin Man yang berkongsi buku bertajuk “Ini Bukan Klise”, penulis Amin Iskandar. Menurut beliau, penulis menulis dari sudut pandangan beliau sebagai aktivis muda yang memberi pendapat, pandangan dan cadangan mengenai isu politik di negara ini. Dalam buku ini, beliau turut memberi pandangan beliau mengenai dasar-dasar yang dibuat oleh pemimpin di Malaysia khususnya. Pelbagai isu yang disentuh oleh penulis antaranya mengenai sistem pilihan raya, hala tuju generasi muda, orang Melayu dan agama. Beliau berpendapat bahawa, sistem pilihan raya di Bangladesh dan Thailand adalah lebih baik dari Malaysia kerana rakyat masih berhak untuk memilih tidak menyokong mana-mana ahli politik yang dicalonkan. Ini berbeza dengan Malaysia di mana mereka tetap perlu memilih salah satu dari ahli yang dicalonkan.
Di akhir penulisan ini, beliau mengatakan bahawa ada yang berpendapat bahawa penulisan ini penuh dengan kontroversi. Namun beliau berpendapat bahawa, kebenaran perlu diperjuangkan dan penambahbaikan perlu dilakukan terutamanya sistem pilihan raya di Malaysia.
Perkongsian diteruskan lagi oleh Puan Norzilah Binti Abdul Aziz dengan buku Siapa Kita 10 Tahun Lagi? yang ditulis oleh Hamirudin Hamidi. Menurut penyampai, buku berkaitan motivasi ini adalah buku yang harus dibaca oleh setiap individu dalam meletakkan cita-cita untuk satu jangka masa. Dalam penulisan ini, penulis sentiasa mengajak pembaca untuk memikir dan melihat masa depan, dan apa yang bakal kita tinggalkan untuk anak-anak nanti. 10 tahun dipilih kerana ia adalah satu jangka masa yang sudah matang dan mampu pergi lebih jauh.
Selain itu, penulis berkongsi pelbagai cadangan untuk mendapatkan kecemerlangan dalam hidup. Antaranya, jangan cepat berputus asa, sabar dengan dugaan dan berdoa meminta pertolongan dariNya. Selain itu, beliau menyarankan untuk tidak terlalu tergesa-gesa dalam membuat keputusan manakala jangan terlalu berlengah-lengah jika sesuatu yang hendak dilakukan itu adalah baik. Kesimpulannya pengulas menyatakan bahawa, berusahalah dengan lebih gigih bermula dari sekarang untuk masa hadapan yang lebih baik tanpa berlengah-lengah yang akhirnya akan merugikan masa.