Program Book Sharing UTM Kuala Lumpur (KL) Siri 16 telah diadakan pada 8 Oktober 2020 (Khamis), jam 10.00 pagi di R.E.A.D Cafe dengan menjemput dua penyampai iaitu Pn. Siti Ummul Zalikha Binti Mohd Zali, Penolong Akauntan, dan En. Zulkharani Bin Saleh, Penolong Jurutera. Kedua-dua penyampai daripada Pejabat Harta Bina, UTM KL.  Moderator program kali ini ialah En. Nor Iman Bin Ibrahim. Sesi ini turut dipancarkan secara LIVE melalui halaman rasmi Facebook UTM Library Kuala Lumpur.

Pengulas pertama, Pn. Siti Ummul Zalikha Binti Mohd Zali memilih buku Filosofi Mak Singa yang ditulis oleh Anie-ajla. Menurut beliau, Filosofi Mak Singa adalah ilmu keibubapaan yang tidak akan jumpa dalam mana-mana buku keibubapaan zaman moden. Ia berkisar ilmu keibubapaan yang dipraktikkan oleh ibu bapa kita dahulu yang tegas dalam mendidik dan membesarkan anak-anak.

Pn. Siti Ummul Zalikha Binti Mohd Zali mengulas buku bertajuk Filosofi Mak Singa

 

Menurut beliau, penulis banyak mengupas isu semasa anak-anak dan ibu bapa di Malaysia akibat dari didikan moden yang akhirnya memberi kesan tidak baik dalam diri anak-anak. Menurut beliau, didikan tegas yang diamalkan adalah bertujuan untuk menasihati dan mengingatkan anak-anak bagi mengenal adab, disiplin serta menghormati dan berbudi bahasa kepada ibu bapa dan orang sekeliling.

Pengulas seterusnya En. Zulkharani Bin Saleh mengulas buku Travelog Umrah DIY oleh Zuera Abdul Ghani sekaligus mengimbas kenangan manis pengulas yang turut sama berpeluang mengerjakan umrah tanpa menggunakan agensi seperti penulis buku ini. Menurut pengulas, kos melaksanakan umrah secara persendirian amat menjimatkan berbanding menggunakan agensi. Walaubagaimanapun, perancangan yang rapi perlu dilakukan bagi memastikan kelancaran sepanjang mengerjakan ibadah umrah. Beliau menekankan tentang pentingnya mempunyai ilmu dan pengetahuan agar dapat memastikan diri mematuhi undang-undang yang digariskan oleh Kerajaan Arab Saudi yang semestinya tidak sama di Malaysia.

En. Zulkharani Bin Saleh mengulas buku bertajuk Travelog Umrah DIY

Antara perkara lain adalah memastikan wang perbelanjaan mencukupi, telah menempah hotel dan kenderaan dengan lebih awal kerana diketahui umum Mekah dan Madinah merupakan tempat tumpuan seluruh pelusuk dunia. Selain itu, penyediaan dokumen visa umrah dan pelancong serta insuran perlindungan amatlah penting. Beliau juga menasihatkan untuk membawa ubat-ubatan memandangkan kos ubatan agak mahal berbanding di Malaysia. Sebelum mengakhiri perkongsian, beliau mengajak hadirin untuk melakukan umrah DIY tanpa ragu-ragu dengan memastikan persediaan rapi dari segi mental, fizikal dan selebihnya berdoa dan berserah pada Allah.

Share this :