Sesi Read & Relax Online Siri 8/2020 telah diadakan pada 27 September 2020 dan rakaman boleh ditonton di saluran Youtube UTM Library Media, Perpustakaan UTM. Sesi online ini menampilkan Dr. Noorfajri bin Ismail, Pensyarah Kanan, Fakulti Alam Bina & Ukur, Universiti Teknologi Malaysia. Beliau mengulas buku berjudul “Insolvency Law : Bankruptcy and Companies Winding-Up” oleh Gita Radhakrishna dari Fakulti Undang-Undang, Universiti Multimedia, Melaka. Buku ini merupakan sebuah buku yang dinanti-nanti oleh pengamal undang-undang kerana ianya merupakan terbitan pertama selepas Akta Insolvensi 1967 dipinda secara besar-besaran. Buku ini mengetengahkan dua (2) isu besar di dalam isu insolvensi iaitu bankrupsi dan bagaimana syarikat ingin ditutup.

Buku ini mengandungi beberapa bab membincangkan pindaan berkaitan Akta Insolvensi 1967 dan Akta Syarikat. Kedua-dua akta ini penting kerana jika berlaku satu keadaan yang tidak diingini di mana peniaga tidak dapat kecairan dalam kewangan dan tidak dapat mengendali kewangan dengan baik. Istilah bankrupsi adalah subjek ditakuti oleh umum. Namun begitu, buku ini sesuai dibaca oleh segenap lapisan masyarakat dan bukan sahaja kepada pengamal undang-undang. Buku ini memberi penekanan kepada pindaan kepada Akta Insolvensi 1967. Pindaan memberi perbezaan di antara insolvensi dan bankrupsi. Bankrupsi berlaku hasil daripada perintah mahkamah. Jika seseorang gagal membayar hutang dan hukuman diputuskan oleh mahkamah. Seseorang yang diisytiharkan sebagai bankrupsi tidak boleh memiliki harta, tidak boleh mengundi dan tidak boleh ke luar negara. Terma bankrupsi telah dipinda kepada insolvensi dan ianya merujuk kepada ketidakupayaan seseorang untuk membayar hutang pada kadar minimum 50 ribu. Seseorang yang diisytihar sebagai bankrupsi tidak boleh melepaskan diri kecuali dengan membayar penuh hutang tersebut.

Namun begitu, pada masa sekarang terdapat mekanisme pra rehabilitasi di mana pemiutang boleh berbincang dengan pihak penghutang untuk mengelakkan kes dibawa ke mahkamah untuk dihakimi. Dengan adanya pra rehabilitasi ini, terdapat fleksibiliti di dalam unsur perundingan dalam konteks undang-undang insolvensi. Kenapa ada mekanisma berkaitan insolvensi? Objektif utama undang-undang insolvensi adalah mewujudkan kesimbangan di antara pihak pemiutang dan penghutang supaya di dalam konteks perniagaan, contohnya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pemiutang diberi satu tempoh untuk menstruktur semula hal ehwal akaun. Buku ini turut memuatkan rumusan dalam bentuk carta perbandingan keadaan sebelum dan selepas undang-undang dipinda bagi memudahkan pembaca lebih faham. Isu bankrupsi adalah penting kerana entiti perniagaan adalah penyumbang terbesar kepada ekonomi negara. Jika tiada undang-undang insolvensi yang teratur dan sistematik, ianya boleh menjejas banyak perniagaan terutamanya industri kecil dan sederhana.

Share this :