Sesi Read & Relax Siri 2/2020 di Perpustakaan UTM Johor Bahru telah diadakan pada 13 Februari 2020 bertempat di Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah. Sesi kali ini menampilkan dua (2) orang pengulas iaitu Encik Imanurezeki Bin Mohamad dan Encik Muhammad Afdhal Bin Abdul Razak.

Pengulas pertama, Encik Imanurezeki Bin Mohamad, Jurutera Mekanikal Kanan, Jabatan Harta Bina mengulas buku berjudul “Falsafah Hidup” karya Prof. Dr. Hamka. Buku ini berkaitan dengan kehidupan seharian yang tidak lari daripada Al-Quran dan Sunnah. Penulis sangat menitik beratkan sikap bersederhana dalam apa jua keadaan. Pengulas menyatakan daripada bacaan, buku ini telah banyak membantu pengulas dalam menghadapi situasi semasa bertugas. Seorang ketua harus mempunyai perasaan ‘human touch’ terhadap staf bawahan dan bukan semata-mata hanya mengikut prosedur.

Kerjasama dan persefahaman amat perlu dalam mencapai objektif organisasi. Isi kandungan banyak menerapkan tentang nilai murni yang boleh diambil iktibar. Antaranya bersikap sederhana dalam kehidupan dengan tidak berlebihan dalam berbelanja. Buku ini mengandungi 9 bab iaitu :
1) Akal yang membezakan manusia dan haiwan. Akal yang membantu manusia untuk membezakan perkara yang baik dan buruk tidak seperti haiwan yang hanya mengikut nafsu. Akal dianugerahkan Allah kepada manusia agar lebih beribadat mengenal Pencipta.
2) Ilmu untuk hidup di mana diciptakan agar manusia dapat merenung kembali fitrah kejadian manusia dan alam sekitar. Ilmu digunakan untuk mengkaji alam seperti yang diajarkan dalam ilmu agama.
3) Undang-undang alam. Manusia perlu mencari hikmah dalam setiap kejadian alam agar menjadi pedoman dalam kehidupan.
4) Adab dan kesopanan telah dinyatakan dalam Al-Quran iaitu adab kepada Pencipta dan adab sesama makhluk. Adab dengan Tuhan ialah dengan Islam, iman, ihsan dan takwa. Manakala sesama makhluk ialah saling menghormati dan menghargai orang lain.
5) Sederhana dalam segala hal dengan tidak berlebih-lebihan. Bersederhana dalam hal dunia akan memupuk sifat syukur dalam kehidupan.
6) Berani dipupuk dalam Islam agar bukan sahaja berani kerana benar. Islam telah memupuk semangat berani dalam memperjuangkan agama sejak dulu lagi.
7) Keadilan dengan berlaku adil meletakkan sesuatu pada hak dan tempatnya.
8) Persahabatan dapat memupuk kerjasama dan saling membantu antara satu sama lain. Kekurangan setiapnya memerlukan sokongan dan teguran untuk perubahan. Maka sahabat yang baik akan mencerminkan peribadi yang baik untuk dicontohi.
9) Islam membentuk pandangan hidup kerana Islam adalah bersifat syumul yang sesuai untuk manusia sejagat. Manusia perlu mengikut syariat yang diajarkan Islam seperti solat, puasa dan rukun Islam yang lainnya.

Dari aspek gaya penulisan, pembaca perlu lebih memahami dan berfikir kerana penulis amat gemar memetik falsafah. Walaubagaimanapun, penulis mempunyai peminat tegar yang juga meminati bidang falsafah serta mengikuti penulisan beliau dari awal.

Pengulas kedua iaitu Encik Muhammad Afdhal Bin Abdul Razak, Pegawai Keselamatan, Bahagian Keselamatan, Jabatan Pendaftar UTM mengulas sebuah buku berjudul “The Definitive Book of Body Language” karya Allan dan Barbara Pease.

Buku ini mempunyai persamaan dengan tugasan dan kehidupan sebenar pengulas. Buku ini memfokus kepada bahasa tubuh badan manusia yang mempunyai maksud tersirat. Bahasa tubuh seseorang mampu membantu komunikasi dalam sesuatu urusan. Contohnya, cara seseorang menggenggam tangan ketika berjabat dapat memberi maksud dominasi komunikasi antara kedua-dua pihak.

Dinyatakan juga seseorang yang berpeluk tubuh mengisyaratkan bahawa seseorang yang enggan melibatkan diri dalam sesuatu perbincangan. Selain itu, buku ini juga menyatakan gerak badan seseorang sangat mempengaruhi minat dan komunikasi dalam sesebuah perhubungan. Menurut pengulas, tips dan panduan di dalam buku ini sangat bermanfaat ketika beliau menjalankan sesi soal siasat sesuatu kes malah berguna juga ketika di luar tugasan dalam kehidupan seharian.

Buku ini membantu pembaca untuk mengetahui maksud gerak bahasa tubuh seseorang dengan lebih lanjut lagi. Sebagai contoh, ketika seseorang berhadapan dengan ketua dan ketika berada dalam perbincangan. Reaksi seseorang merupakan isyarat kepada kita sama ada meneruskan atau menamatkan perbincangan. Senyuman juga merupakan salah satu daripada bahasa badan yang rapat dengan wanita. Senyuman boleh menggambarkan keikhlasan seseorang. Senyuman mempengaruhi kredibiliti wanita dalam kerjaya. Gaya penulisan buku adalah ringkas dan mudah untuk difahami oleh setiap lapisan pembaca.

 

Share this :