Pandemik COVID-19 ternyata mengubah kehidupan masyarakat dunia. Suatu norma hidup yang tidak pernah dibayangkan apabila kebiasaan dan kebebasan yang dikecapi selama ini hilang. Sektor pendidikan juga menerima kesan yang sama apabila sekolah dan institusi pengajian tinggi ditutup sepenuhnya untuk beberapa ketika. Perkhidmatan perpustakaan turut menerima tempiasnya.
Menurut laporan IFLA (International Federation of Library Associations and Institutions), perpustakaan di seluruh dunia berhadapan dengan kesukaran dalam meneruskan perkhidmatan kepada masyarakat. Perpustakaan begitu sinonim dengan ‘gedung ilmu’ di mana pengguna bebas untuk merujuk dan menelaah naskhah tanpa sekatan. Timbul beberapa persoalan; adakah senario ini menggugat peranan perpustakaan?
Konsep Perpustakaan Digital telah berkembang secara dinamik sejak dari awal 1990-an lagi. Justeru, ia telah memberi kelebihan kepada Perpustakaan UTM untuk meneruskan perkhidmatan dalam era pasca COVID-19 dengan memberi fokus kepada koleksi digital serta menyediakan perkhidmatan atas talian yang terbaik dan pantas kepada pengguna khususnya mahasiswa dan warga akademik dalam menyokong aktiviti pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan. Justeru, beberapa inisiatif giat dilaksanakan sepanjang tempoh PKP bagi tujuan tersebut. Antaranya termasuklah :
- Mempromosi penggunaan sumber maklumat elektronik Perpustakaan UTM
Perpustakaan UTM secara agresif mempromosi koleksi sumber maklumat elektronik yang terdiri daripada pangkalan data langganan dan sumber maklumat digital Perpustakaan UTM seperti e-jurnal, e-buku serta e-tesis melalui portal dan media sosial. Implikasinya, statistik akses sumber maklumat elektronik Perpustakaan UTM menunjukkan peningkatan mendadak sebanyak 62.7% bagi tempoh di antara Januari hingga Ogos 2020, jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada 2019. Ia membuktikan kebergantungan pengguna secara menyeluruh terhadap sumber maklumat elektronik bagi menyokong keperluan pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan. - Membangun dan mempromosi sumber akses terbuka secara atas talian
Perpustakaan UTM telah membangunkan pelantar khusus yang menyenaraikan sumber akses terbuka yang boleh diakses secara atas talian oleh pengguna. Pencarian boleh dibuat melalui LIB-MAST (Massive Access Scholar Tracking) yang dibangunkan sendiri oleh Bahagian Automasi, Perpustakaan UTM. Sejumlah 4,108,021 juta bahan daripada 10 repositori daripada institusi ternama boleh dibuat pencarian dan 90% daripadanya membenarkan akses kepada teks penuh. - Pembangunan pelantar maklumat COVID-19 di Portal Perpustakaan UTM
Pada awal kemunculan wabak COVID-19, media sosial telah dibanjiri dengan pelbagai berita dan maklumat palsu. Justeru, Perpustakaan UTM mengambil langkah drastik membangunkan pelantar maklumat COVID-19 sebagai usaha menyalurkan maklumat terkini dan sahih kepada para pengguna. Pengguna boleh mendapatkan data statistik terkini, keratan akhbar terpilih melalui RSS Feed dan koleksi video sidang media terkini daripada sumber yang sahih. - Program budaya ilmu dan Read@UTM secara atas talian
Perpustakaan UTM menyokong penuh Kempen Dekad Membaca Kebangsaan dengan menggalakkan budaya membaca secara atas talian melalui beberapa program yang telah dirancang. Sehingga Oktober 2020, sejumlah 48 sesi Read & Relax online telah berjaya dianjurkan dengan jumlah tontonan sebanyak 9,480 di laman Facebook. Tidak ketinggalan program K-Sharing dan Bicara Karya juga dilaksanakan melalui kaedah norma baharu yang sama. Ia melibatkan sejumlah 22 sesi dan berjaya mencatatkan sebanyak 11,372 tontonan. - “Online Chat with a Librarian” – Perkhidmatan Perundingan Sokongan Penyelidikan secara atas talian
Perkhidmatan ini merupakan penghubung utama di antara pustakawan dengan pengguna secara maya. Pelantar atas talian ini dibangunkan khusus untuk mengendalikan pertanyaan rujukan kepada para pengguna secara atas talian dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang, Ahad hingga Jumaat. Sehingga Oktober 2020 sejumlah 748 pertanyaan direkodkan. Pelbagai permasalahan mahasiswa dapat diselesaikan dengan cepat, mudah dan sistematik. - Penganjuran program pendidikan pengguna melalui kaedah atas talian
Program pendidikan yang melibatkan modul kemahiran pencarian maklumat, kaedah penyelidikan, akses pangkalan data dan lain-lain diteruskan melalui kaedah atas talian. Program ini telah mendapat sambutan di luar jangkaan apabila sejumlah 69 sesi yang melibatkan seramai 5,980 mahasiswa menyertai program ini sepanjang Januari hingga Oktober 2020. Beberapa bengkel kaedah penyelidikan dan penerbitan juga telah berjaya djalankan oleh fasilitator terlatih menerusi kerjasama erat di antara Perpustakaan UTM dengan penerbit antarabangsa. Seramai 2,725 orang peserta telah menyertai bengkel ini melalui platform Webex.
Secara keseluruhannya, Perpustakaan UTM amat positif melaksanakan fungsinya sebagai nukleus ilmu walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran pasca COVID-19. Profesion pustakawan juga telah mengadaptasi budaya kerja dalam norma baharu. Ia melibatkan budaya ‘bekerja dari rumah’, bermesyuarat secara atas talian dan memberi perkhidmatan secara atas talian. Pustakawan tidak boleh berasa selesa dengan budaya kerja lama dan perlu pantas menggarap kemahiran dan pengetahuan terhadap teknologi terkini. Pembelajaran secara atas talian dan penganjuran program menerusi pelantar media sosial membantu melonjak peranan Perpustakaan UTM dalam kalangan pengguna dan masyarakat setempat. Jelasnya Perpustakaan UTM mampu menjadi pemangkin budaya ilmu yang cemerlang.