Program Book Sharing Perpustakaan UTM Kuala Lumpur (KL) 2020 untuk siri 19 ini diteruskan dengan menjemput dua orang pengulas iaitu Cik Nurul Fathin Syafika Binti Mohd Ali, Penolong Jurutera dari Pejabat Harta Bina (PHB) dan Cik Jufa Zyha Binti Md Salleh, Penolong Pegawai Sains dari Pusat Pengurusan Makmal Universiti (PPMU).  Program dijalankan secara Live di laman Facebook UTM Library Kuala Lumpur. Moderator program ialah Puan Sharifah Radhiah Binti Syed Azman, Pustakawan Perpustakaan UTM KL.

Cik Nurul Fathin Syafika Binti Mohd Ali berkongsi buku yang bertajuk “Kemurungan Mengancam Kehidupan”

Pengulas pertama Cik Nurul Fathin Syafika Binti Mohd Ali berkongsi buku yang bertajuk “Kemurungan Mengancam Kehidupan” ditulis oleh Affizal Ahmad. Beliau menerangkan kemurungan ialah salah satu  penyakit psikiatri yang utama di dunia. Penyakit ini sering mengganggu fungsi manusia serta sosioekonomi sesebuah negara. Pesakit yang mengalami kemurungan major boleh bertindak di luar batas kewarasan fikiran. Beliau turut menerangkan faktor-faktor terjadinya kemurungan adalah kesedihan yang melampau sehinga mengabaikan keterampilan diri sendiri dan juga perasaan yang cepat merasa panik, gemuruh dan tertekan. Beliau berpendapat bahawa, individu itu sendiri perlu mengetahui cara untuk menguruskan diri jika berada dalam situasi demikian. Jika individu tidak bijak dalam menguruskan diri sendiri, ia akan menyebabkan masalah yang lebih serius yang menyebabkan kesan kepada diri dan orang sekeliling.

Antara simptom kemurungan yang dikongsi pengulas yang boleh dikesan dari awal adalah sedih dan murung, kurang selera makan dan gangguan dalam tidur. Hal ini terjadi kebiasaannya disebabkan oleh masalah peribadi, tempat kerja mahupun rakan sekerja. Ini menyebabkan individu hilang minat dalam melakukan aktiviti harian dan tugasan sekaligus menyebabkan keletihan yang melampau. Oleh itu, pengulas merumuskan bahawa, sokongan dan dorongan dari ahli keluarga, kawan-kawan dan juga masyarakat amat penting untuk membantu pesakit kemurungan dan elak dari menyisihkan mereka.

Cik Jufa Zyha Binti Md Salleh berkongsi buku bertajuk “Cara Tidur Jejaskan Tubuh & Minda”

Program diteruskan lagi dengan menjemput pengulas kedua iaitu Cik Jufa Zyha Binti Md Salleh berkongsi buku iaitu “Cara Tidur Jejaskan Tubuh & Minda” yang ditulis oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Menurut beliau, buku ini menceritakan beberapa kesan jika kita kurang tidur serta terdapat panduan bagi mengatasinya. Antara kesan buruk akibat dari kekurangan tidur adalah berlaku masalah kegemukkan, mengalami proses penuaan yang menjejaskan daya ingatan yang sekaligus menjadikan individu terbabit kurang keyakinan dalam diri sendiri. Bagi mengelakkan masalah demikian, penyampai mengatakan langkah awal yang perlu dibuat adalah mendapatkan kualiti tidur iaitu dengan mewujudkan suasana yang nyaman dan sunyi, ,memasang lagu yang bersesuaian dengan “mood”, elak dari mengambil makanan yang berlebihan sebelum tidur dan tetapkan waktu untuk tidur pada setiap hari. Melalui amalan ini, individu tersebut pasti dapat melihat perbezaannya.

Kesimpulannya, pengulas menyatakan untuk mendapatkan badan yang sihat ia datang dari pengurusan diri itu sendiri dan seterusnya amalan sihat sehari-harian. Badan sihat, otak cergas.

 

 

Share this :