Kemuncak progam khidmat masyarakat Perpustakaan UTM yang diadakan secara sinergi dengan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Princess Elizabeth, Johor Bahru telah berjaya melaksanakan program semarak dekad membaca  dengan tema #BacaCelikHati. Pelbagai aktiviti pembudayaan ilmu dirangka untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan membaca, memupuk minat cintakan ilmu dan meningkatkan tahap pembacaan agar ianya menjadi amalan sepanjang hayat. Apatah lagi sekiranya aktiviti-aktiviti sihat ini diterapkan diawal usia bak kata pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

Justeru itu, Perpustakaan UTM amat komited dalam usaha mewujudkan ekosistem membaca yang produktif serta menyuburkan minat membaca di kalangan murid berkeperluan khas khususnya dalam kategori kurang upaya penglihatan. Program ini secara simboliknya, mengetengahkan kesungguhan insan istimewa ini menerokai ilmu melalui pembacaan dan diharap memberi inspirasi kepada masyarakat secara keseluruhannya bahawa membaca itu mencelikkan hati.

Terdapat dua sesi perkongsian ilmu telah dijalankan sepanjang program berlangsung. Salah satunya adalah bertajuk Al-Quran versi braille, kompas solat (Q-finder) dan pengenal warna (C-finder) yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Profesor Madya Dr. Zarhamdy Md Zain merupakan inovasi yang mendatangkan manfaat serta menyokong keperluan pendidikan khas. Perkongsian kedua adalah daripada tokoh yang tidak asing lagi iaitu Dato’ Mah Hassan, KL Braille Resources dengan tajuk Inovasi Braille dalam Mencorak Kerjaya Masa Depan Kanak-Kanak Kurang Upaya Penglihatan.

Tidak ketinggalan sesi ulasan buku mengandingkan mahasiswa UTM dan murid SKPK Princess Elizabeth dalam satu platform yang sama sebagai pemangkin melahirkan murid-murid berkeperluan khas yang berpotensi dan mampu bersaing dalam arus globalisasi. Melalui program ini juga terjalin usahama dengan KL Braille Resources untuk mengadakan pertandingan dominos braille dan pertandingan mewarna. Hadirin program juga amat bertuah kerana berpeluang menyaksikan persembahan deklamasi sajak, syair, sesi bercerita, bacaan Al-Quran (Braille), nyanyian lagu tradisional oleh murid SKPK Princess Elizabeth, Johor Bahru.

Manakala perasmian program semarak dekad membaca telah disempurnakan oleh Y.Bhg Timbalan Naib Canselor Pembangunan Profesor Dr. Azlan Abdul Rahman pada 13 Mac 2020, Rabu bertempat di Ruang Lestari, Aras 2, Perpustakaan UTM disusuli dengan montaj program semarak dekad membaca, penyerahan mock Special Learning Kit, simbolik Book Exchange, perasmian bilik belajar 24 jam serta sesi tandatangan memorandum of understanding (MOU).

Semoga program ini memberi satu nilai tambah kepada murid SKPK Princess Elizabeth, Johor Bahru melalui pengalaman yang diperoleh hasil sinergi Perpustakaan UTM dan SKPK Princess Elizabeth dalam mencapai satu matlamat iaitu membudayakan ilmu. Pendedahan awal ini juga dapat mempersiapkan murid-murid dalam mengharungi cabaran kehidupan menggunakan pengetahuan dan ilmu yang dimiliki untuk menempa kejayaan. Kerana bangsa berjaya adalah bangsa membaca!

Share this :