Agenda semarak budaya membaca diteruskan sebagai pembuka tirai 2021 dengan meneruskan jalinan kerjasama Jabatan Pendaftar. Tahun 2020 menyaksikan kejayaan apabila sejumlah 19 siri Read & Relax dilaksanakan di Perpustakaan UTM Johor Bahru manakala 20 siri lagi di Perpustakaan UTM Kuala Lumpur. Pada Siri 1/2021 ini Perpustakaan UTM Johor Bahru telah berlangsung pada 14 Januari 2021 dengan menampilkan dua orang pengulas iaitu Encik Dzulhelmi Bin Mohd Razali, Penolong Pendaftar Kanan, Pejabat Akademik Prasiswazah, Fakulti Alam Bina & Ukur, UTM dan Puan Siti Zarinah Binti Haji Abdul Jalal, Penolong Pendaftar, Pusat Kualiti Dan Pengurusan Risiko, Jabatan Canseleri, UTM.

Encik Dzulhelmi Bin Mohd Razali mengulas buku bertajuk Letters To God

Encik Dzulhelmi Bin Mohd Razali telah berkongsi tentang sebuah buku yang bertajuk Letters To God karya Norhafsah Hamid. Letters To God  menceritakan perjalanan seorang gadis muda bernama Sarah dalam mengharungi rentak kehidupan dalam dunia yang penuh cabaran. Sarah berjuang untuk menyeimbangkan pekerjaan, kehidupan dan kerinduan rohaninya sambil berusaha menyesuaikan diri dengan persekitaran baharunya. Sarah membuat keputusan untuk menulis surat kepada Tuhan, sebagai salah satu cara untuk meluahkan kerisauan dan keperitan yang dialaminya kepada Tuhan. Dia percaya ruang berbicara dengan Tuhan itu ada pada bila-bila masa, di mana sahaja, bahkan di luar solat. Letters to God diterbitkan dalam enam siri dan pengulas teruja untuk memiliki kesemuanya kerana ingin terus menyelami kandungan sekual penceritaanya. Buku ini sesuai untuk dibaca oleh semua lapisan umur, malahan buku ini juga telah memenangi ‘Anugerah Buku Negara 2019’.

Puan Siti Zarinah Binti Haji Abdul Jalal mengulas buku bertajuk 365 Tip Didik Anak Gaya Nabi

Pengulas yang kedua, Puan Siti Zarinah Binti Haji Abdul Jalal telah berkongsi tentang sebuah buku yang bertajuk 365 Tip Didik Anak Gaya Nabi karya Ustazah Isfadiah Mohd Dusuki.  Buku ini sarat dengan perkongsian dalil daripada Al-Quran, hadith, dan pendapat ulama.  Bertemakan ‘1 hari 1 tip’, pembaca dapat menghayati 365 tip sebagai bimbingan lengkap untuk setahun. Setiap topik dinyatakan kelebihan dan tujuan pelaksanaannya. Turut diselitkan cadangan aktiviti yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bersama anak-anak. Fakta yang diberikan sangat jelas dan bersesuaian dengan senario semasa beserta dalil Al-Quran yang kukuh. Buku ini sangat sesuai untuk bacaan seisi keluarga kerana di samping nasihat yang positif ia juga menerangkan kaedah terbaik menegur dan mendidik anak.


Secara kesimpulannya, kedua-dua buku ini membawa masej yang sama bahawa setiap yang berlaku pada diri setiap manusia adalah atas ketentuan Allah. Jangan lelah mengadu pada Yang Maha Esa saat susah atau senang dan mohonlah petunjuk agar perjalanan kita sentiasa dalam redha-Nya.

Share this :