Paparan depan bagi Sistem Katalog Atas Talian : OCEAN (Online Catalogue for Easy Access to Information)

Pada 21 Januari 2021 (Khamis) tercipta sejarah bagi Perpustakaan UTM dengan Pelancaran Sistem Pengurusan Perpustakaan Baharu Sumber Terbuka yang dirasmikan oleh Naib  Canselor UTM, YBhg. Prof Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail sempena Majlis Amanat Naib Canselor UTM 2021.

Menyusuri kembali sejarah transformasi sistem pengurusan perpustakaan yang bermula seawal tahun 1980an mengingatkan kita kepada Berlian (1986-1990), OPAC (1991-2000), INFOLAN (1992-2000), INFOLAN2 (2001-2010) dan LESTARI (2011-2020). Ini menggambarkan inovasi berterusan Perpustakaan UTM dalam sistem pengurusan perpustakaan.

Sistem Pengurusan Perpustakaan Baharu Sumber Terbuka dikenali sebagai OCEAN (Online Catalogue for Easy Access to Information) secara rasminya telah digunakan mulai 21 Januari 2021 menggantikan LESTARI (Library Electronic System & Research Information).

Sistem ini dibangunkan secara kendiri sepenuhnya dengan kepakaran empat (4) orang Pustakawan, dua (2) orang Pembantu Pustakawan dan seorang Pegawai Teknologi Maklumat, UTMDigital dari Seksyen Automasi, Bahagian Automasi & Perkhidmatan, Perpustakaan UTM.

Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia telah mengambil inisiatif untuk menukar Sistem Pengurusan Perpustakaan (LMS) dari sistem pengurusan perpustakaan komersial (proprietary) iaitu SirsiDynix kepada sistem sumber terbuka KOHA (open source) yang merupakan satu sistem maklumat perpustakaan bersepadu yang berasaskan web.  Sistem ini telah dibangunkan mengikut protokol dan piawaian perpustakaan seperti MARC 21, UNIMARC, Z39.50, SRU/SW, SIP2, SIP/NCIP bagi memastikan ianya bersesuaian, mampu berfungsi dan boleh diintegrasi dengan sistem-sistem lain yang digunakan.

Sistem OCEAN boleh diakses melalui portal perpustakaan atau pada pautan https://opac.utm.my. Ianya berfungsi dalam pengurusan sistem pencarian bahan, peminjaman, pemulangan, rekod patron, Inter library loan, maklumat pinjaman/dendaan patron dan pengurusan lebih 700 ribu buah buku serta lain-lain bahan.

Langkah inovasi yang berani ini telah berjaya menjimatkan kos sebanyak RM1.5 juta bagi tempoh 3 tahun seterusnya penjimatan kos peruntukan penyelenggaraan sistem dalam tempoh jangka panjang. Pendekatan ini penting dalam memastikan kelangsungan perkhidmatan perpustakaan yang cekap dan berkesan dapat dikekalkan.

Bagi penjenamaan semula sistem baharu, Perpustakaan UTM telah menganjurkan Pertandingan Mencipta Nama Baharu Sistem Katalog Atas Talian (OPAC) Perpustakaan UTM 2020 yang telah diadakan pada 22-31 Disember 2020 dan terbuka kepada warga UTM. Pertandingan ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan menerima 153 penyertaan. Sebanyak 373 pelbagai nama beserta deskripsi dicadangkan dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris. Pemenang bagi pertandingan ini adalah saudari Kam Chui Fong, pelajar Tahun 2 dari Jabatan Kimia, Fakulti Sains dengan nama OCEAN (Online Catalogue for Easy Access to Information) yang berjaya mencerminkan fungsi sistem pengurusan perpustakaan.

Reka bentuk logo baharu bagi Sistem Katalog Atas Talian (OPAC) Perpustakaan UTM turut dicipta. Pencipta reka bentuk logo sistem adalah Encik Md Razib bin Karno iaitu Ketua Seksyen Automasi, Bahagian Automasi & Perkhidmatan, Perpustakaan UTM.

Interpritasi logo bagi perkataan OCEAN adalah akronim kepada O – Online; C – Catalogue; E – Easy; A – Access; N – InformatioN. OCEAN  diumpamakan sebagai lautan ilmu dan maklumat yang tidak terbatas dan sangat luas serta dalam seperti lautan. Tiada titik noktah dalam mencari maklumat serta ilmu dan ianya akan sentiasa bertambah. Warna gradient biru muda kepada gelap menunjukkan warna laut dan kedalaman serta keluasan lautan itu sendiri dikaitkan dengan ilmu yang tidak terbatas. Ikon gelombang dan ombak laut turut melambangkan helaian buku bagi maklumat yang sentiasa bertambah dan meningkat seperti ombak di lautan. Sentiasa terdapat ilmu baru dan berubah mengikut masa.

Perpustakaan UTM mengucapkan setinggi-tinggi  penghargaan dan terima kasih kepada pasukan kerja Jawatankuasa Induk Pembangunan Sistem Pengurusan Perpustakaan Sumber Terbuka KOHA di atas komitmen, sumbangan, dan usaha dalam merealisasi dan menjayakan inovasi sistem pembangunan pengurusan perpustakaan.

Penasihat
Puan Noraziah binti Sharuddin, Ketua Pustakawan

Penyelaras
Puan Kamariah binti Mohamed Jong, Timbalan Ketua Pustakawan (Automasi & Perkhidmatan)

Ketua Projek
Encik Md Razib bin Karno, Ketua Seksyen Automasi

Ahli Utama Projek (Seksyen Automasi)
Encik Yusrul Hisham bin Mohd Yusof, Pustakawan Kanan
Puan Norhafisah binti Zakaria, Pustakawan
Encik Mohamad Fahiezan bin Md Zan, Pustakawan
Encik Sharul bin Ismail, Pegawai Teknologi Maklumat, UTMDigital
Encik Khairul Syafiq bin Kudus, Pembantu Pustakawan
Encik Luqman Hakim bin Abdul Hamid, Pembantu Pustakawan

Penghargaan serta terima kasih juga diucapkan kepada Ahli Jawatankuasa Induk Pembangunan Sistem Pengurusan Perpustakaan Sumber Terbuka KOHA, Jawatankuasa Pelaksana Pelancaran Sistem Pengurusan Perpustakaan Sumber Terbuka KOHA dan semua staf yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.

Adalah diharap Sistem OCEAN ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam meningkatkan produktiviti dan penyampaian perkhidmatan Perpustakaan UTM kepada seluruh warga UTM.

Ketua Pustakawan, Pn.Noraziah binti Sharuddin (berdiri tengah) bersama barisan Pengurusan Tinggi Perpustakaan UTM

Oleh:
Urusetia
Jawatankuasa Pelaksana Pelancaran UTM Virtual Gallery &
Sistem Pengurusan Perpustakaan Sumber Terbuka OCEAN
Perpustakaan UTM

Share this :