Laman web UTM Virtual Gallery di pautan https://virtualgallery.utm.my

UTM Virtual Gallery merupakan portal rasmi bagi Galerium UTM yang telah dibangunkan oleh Perpustakaan UTM. Pelancaran UTM Virtual Gallery telah dirasmikan oleh Naib Canselor UTM, YBhg. Prof Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail sempena Majlis Amanat Naib Canselor UTM 2021 pada 21 Januari 2021 yang disiarkan langsung secara dalam talian (Live FB) menerusi pautan www.facebook.com/groups/utmcommunity

UTM Virtual Gallery merupakan cetusan dan idea mantan Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir. Dr. Wahid Omar pada Mac 2020. Konsep galeri maya ini berperanan sebagai perkongsian, penyebaran dan mempromosi koleksi galeri, artifak dan maklumat galeri UTM secara digital di peringkat global. Ini bagi memperkasa sistem pemusakaan ilmu, harta intelek dan melindungi khazanah universiti bagi pembangunan, pemantapan dan pemerkasaan galeri UTM (fizikal dan maya) serta repositori koleksi multimedia universiti.

Di peringkat awal, UTM Virtual Gallery bermula dengan pautan di Portal Perpustakaan UTM yang dibangunkan pada tahun 2015. Kandungan yang dipamerkan pada ketika itu adalah poster pameran yang diuruskan oleh Unit Galerium. Lawatan mantan Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir. Dr. Wahid Omar ke ruang pameran Galerium UTM pada 2 Januari 2017 telah menekankan aspek promosi koleksi Galerium UTM secara digital untuk dipergiat dan dipertingkatkan secara komprehensif. Ini disusuli dengan Majlis Perasmian Galerium UTM oleh mantan Naib Canselor UTM pada 26 September 2017 yang mencetuskan pembangunan portal web galerium Perpustakaan UTM dan  berjaya dibangunkan pada 10 April 2019. Kandungan modul galeri web merangkumi modul lawatan virtual 360, koleksi photo digital, koleksi video, poster digital, artifak dan pameran,

Perpustakaan UTM telah diberi mandat oleh Pengurusan Tinggi UTM berperanan sebagai pusat pengurusan ilmu pengetahuan Universiti. Justeru itu, Perpustakaan UTM secara proaktif telah melaksanakan Projek Pengurusan Pengetahuan (KM) mulai tahun 2019 dalam memperkasakan khazanah koleksi khas UTM digital.

Perpustakaan terus mengorak langkah dengan menerajui Sistem UTMLenses: Platform Sehenti Repositori Koleksi Multimedia UTM mulai April 2019 sehingga Julai 2020. Objektif pembangunan sistem UTMLenses adalah bagi mewujudkan sistem pengumpulan bahan multimedia Universiti secara berpusat atas talian dan mudah diakses.

Pengurusan bahan multimedia di UTM diuruskan dan disimpan secara berasingan mengikut Pusat Tanggungjawab (PTJ) masing-masing. Permasalahan pengurusan dan penyimpanan tidak berpusat menyebabkan kesukaran bagi mengakses dan dapatan semula bahan multimedia yang diperlukan bagi tujuan pengajaran, pembelajaran dan pendidikan. Selain itu, bahan multimedia juga didepositkan ke dalam perisian youtube dan ini menyebabkan UTM tidak mempunyai koleksi secara mutlak walaupun pembangunan penghasilan video dan gambar adalah hak milik UTM.

Perpustakaan telah berjaya menjadikan projek UTMLenses di bawah KFA UTM 2020 iaitu KFA 3 : Sustainable, Infrastructure And Infostructure, Strategic Objective : L2. Enhanced Technology and Information System in Digital Age di bawah KAI : Customer Satisfaction Index (CSI) dan program berimpak tinggi iaitu H1. One stop platform for UTM multimedia collection dengan berjaya mendapatkan peruntukan sebanyak RM80,000.00

Satu lagi cabaran telah dipertanggungjawabkan kepada Perpustakaan UTM oleh Mantan Naib Canselor, Profesor Datuk Ir. Dr. Wahid Omar untuk mengangkat Web Galerium Perpustakaan UTM sebagai sumber rujukan utama warisan universiti melibatkan galeri-galeri yang terdapat di UTM dengan menggabungkan Sistem UTMLenses : Platform Sehenti Repositori Koleksi Multimedia UTM. Mulai 30 Mei 2020, penjenamaan semula Web Galerium Perpustakaan UTM telah dilaksanakan dan seterusnya berjaya merealisasikan UTM Virtual Gallery pada 30 Ogos 2020.

Keunikan UTM Virtual Gallery membawa pengunjung melayari dan meneroka pelbagai koleksi artifak yang tersimpan serta menjelajah segenap sudut galeri di UTM dengan hanya menggunakan telefon pintar ataupun komputer.

UTM Virtual Gallery memfokuskan kepada empat modul galeri maya iaitu Virtual 360˚, UTMLenses, Artifak dan Pameran,

  1. Modul Virtual 360˚ membolehkan pengunjung melakukan lawatan secara maya Galeri di UTM. Konsep Virtual 360˚ merupakan yang pertama di Universiti Awam di Malaysia. Galeri secara maya meliputi Galerium UTM, Galeri Tangga Ilmu, Galeri Terbuka, Galeri Tokoh Penyelidik, Galeri Raja Zarith Sofiah, Galeri Khazanah Intelektual Johor, Galeri UTMKL, Galeri KALAM dan Galeri Alam Bina.
  2. UTMLenses adalah satu platform penyimpanan dan pengaksesan sepusat bahan multimedia UTM yang terdiri daripada gambar dan video berkaitan UTM. Ianya juga merupakan sistem yang pertama seumpamanya di kalangan Universiti Awam. Sistem pengindeksan yang tersusun dan mudah dikesan ini bakal menjadikannya rujukan utama bahan multimedia koleksi gambar dan video universiti.
  3. Modul Artifak menghimpunkan pelbagai maklumat secara maya berkenaan artifak yang dipelihara dan dipulihara dengan baik mengikut tatacara piawai pemuziuman dunia.
  4. Modul Pameran menghimpunkan aktiviti pameran yang sedang dan telah dianjurkan oleh Galerium UTM.

Pembangunan UTM Virtual Gallery dan UTMLenses: Platform sehenti repositori koleksi multimedia UTM telah dilaksanakan oleh Ahli Jawatankuasa Induk UTM Virtual Gallery Perpustakaan UTM yang terdiri daripada empat (4) orang  Pustakawan, seorang Jurufoto dan seorang Pembantu Pustakawan, Seksyen Galeri dan Seksyen Multimedia, Bahagian Koleksi Khas & Galeri.

Penasihat
Puan Noraziah binti Sharuddin, Ketua Pustakawan

Penyelaras
Cik Haslina binti Othman, Timbalan Ketua Pustakawan (Koleksi Khas & Galeri)

Ketua Projek
Encik Mohd Fuad bin Mohamed Yusof, Ketua Seksyen Galeri & Seksyen Multimedia

Ahli Utama Projek (Seksyen Galeri & Seksyen Multimedia)
Encik Mohd Zaidi bin Othman – Pustakawan, Seksyen Multimedia
Puan Nabilah  binti Jamil – Pustakawan Kanan, Seksyen Galeri
Dr. Nazrinda binti A.Samah – Pustakawan Kanan, Seksyen Galeri
Encik Wan Jamal bin Mohd Ariff – Jurufoto, Seksyen Multimedia
Encik Hasbullah bin Jalil – Pembantu Pustakawan, Seksyen Multimedia

Setinggi-tinggi penghargaan terima kasih diucapkan kepada semua staf Seksyen Galeri dan Seksyen Multimedia dan mantan staf Seksyen Galeri, Puan Nor Hafiza binti Daud Kaiyin serta semua staf yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan projek tersebut.

Pihak perpustakaan amat berharap impian untuk membangunkan sebuah muzium di UTM akan menjadi satu realiti dan pembangunan UTM Virtual Gallery ini merupakan titik tolak kepada hasrat murni ini. Laman web UTM Virtual Gallery boleh dilayari pada pautan https://virtualgallery.utm.my yang menampilkan sejarah, pencapaian dan kebanggaan UTM di persada antarabangsa.

Barisan Pengurusan Tinggi Perpustakaan UTM diketuai oleh Ketua Pustakawan, Pn. Noraziah binti Sharuddin (berdiri di hadapan)

Oleh:
Urusetia
Jawatankuasa Pelaksana Pelancaran UTM Virtual Gallery &
Sistem Pengurusan Perpustakaan Sumber Terbuka OCEAN
Perpustakaan UTM

Share this :