Program BookSharing@UTMKL diteruskan lagi untuk siri ke-3 diadakan secara langsung dari Facebook UTM Library Kuala Lumpur. Dua pengulas jemputan adalah Puan Hazlen Binti Mohammad dari Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan dan Puan Siti Zuraida Binti Abdul Samad dari Fakulti Teknologi & Informatik Razak. Manakala moderator pula ialah Puan Sharifah Ezathul Imma Binti Syed Zainal Abidin.

Puan Hazlen Binti Mohammad mengulas buku bertajuk Allah Itu Dekat

Puan Hazlen Binti Mohammad selaku pengulas pertama memilih buku Allah Itu Dekat, yang ditulis oleh Nurul Ezzaty Binti Abd Wahab. Menurut beliau, buku ini adalah sebuah karya motivasi yang menitipkan pesan, nasihat serta beberapa kisah pengalaman hidup tentang kehidupan seharian yang sedang kita jalani. Terdapat pasang surut dalam kehidupan kita, adakalanya kita berasa kuat dan ada ketika kita jadi sangat lemah. Oleh itu, melalui penghayatan yang baik terhadap penulisan ini dapat membantu untuk pembaca kekal tenang dalam menghadapi ujian hidup dan seterusnya bangkit meneruskan kehidupan.

Pengulas kedua iaitu Puan Siti Zuraida Binti Abdul Samad memilih buku I’m A Backpacker: France yang ditulis oleh Zikrullah Ismail. Menurut beliau, buku ini bersesuaian bagi pengembara yang berhasrat untuk ke Perancis kerana terdapat banyak panduan dan cara membuat persediaan sebelum dan semasa berada di negara kota cinta itu.

Puan Siti Zuraida Binti Abdul Samad mengulas buku bertajuk I’m A Backpacker: France

Tambah beliau lagi, buku ini mempunyai lima (5) bab kesemuanya yang dikupas secara terperinci selain penulis juga berkongsi tempat-tempat menarik yang terdapat di sana. Buku ini dilengkapi dengan gambar berwarna yang sangat menarik sekaligus dapat menarik pembaca mengetahui lebih lanjut.

Share this :