Wanita Bangkit Mendepani Cabaran adalah tema bagi sambutan Hari Wanita 2021.Bagi memeriahkan sambutan Hari Wanita ini, pihak Perpustakaan UTM telah merangka beberapa aktiviti perkongsian ilmu berkaitan wanita. Sesi pertama merupakan progam Bicara Karya yang mengupas sebuah naskhah yang bertajuk “Matron, saya nak resign” pada 9 Mac 2021 jam 10.00 pagi. Ia merupakan sinergi di antara Perpustakaan UTM bersama Pusat Islam UTM yang dipancarkan secara langsung di laman Facebook Perpustakaan UTM.

Puan Nursyukrina merupakan seorang bekas jururawat terlatih Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah berkhidmat selama 6 tahun sebelum beliau membuat keputusan untuk meletakkan jawatan pada tahun 2017. Keputusan untuk melepaskan jawatannya adalah berlandaskan pengorbanan seorang ibu kepada anak-anaknya yang tercinta. Setelah meletakkan jawatan, beliau menjadi seorang suri rumah sepenuh masa. Beliau juga bergiat aktif sebagai aktivis di dalam beberapa Islamic Playgroup yang berkaitan dengan perkembangan  serta pendidikan kanak-kanak. Beliau baru sahaja berjinak dalam bidang penulisan. yang menjurus kepada perkembangan, kesihatan dan pendidikan seksual kanak-kanak.

Memori hitam yang terpalit dalam kehidupan beliau telah menguatkan lagi keputusan beliau untuk berhenti kerja.  Ketika sedang berpantang anak ketiga, beliau diduga Allah dengan musibah apabila anak perempuannya yang berumur 4 tahun telah menjadi mangsa gangguan seksual di rumah pengasuh oleh seorang pemangsa yang pada ketika itu baru berusia 12 tahun. Rentetan daripada peristiwa tersebut, beliau hilang rasa kepercayaan kepada masyarakat dan sering menyalahkan dirinya atas apa yang berlaku. Keputusan ujian DASS (Depression Anxiety Stress Scale) jelas mendapati bahawa beliau menghidapi kemurungan awal dan kerisauan. Dengan kesedaran ini, beliau nekad untuk berhenti kerja dan menjaga sendiri anak-anaknya di rumah.

Penulis menyatakan antara punca penderaan seksual ini berlaku kepada kanak-kanak adalah kerana tiada pemantauan daripada ibu bapa. Apatah lagi dengan perkembangan dunia teknologi tanpa sempadan. Pelbagai kandungan maklumat yang tidak sesuai dengan kanak-kanak dapat diakses dengan mudah. Beliau menyarankan kepada ibu bapa untuk mengaplikasikan empat (4) perkara berikut untuk dijadikan panduan atau sebagai langkah awal bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku:
1) Ibu bapa perlu menggunakan terma yang betul untuk alat sulit lelaki dan perempuan
2) Ibu bapa perlu mengajar anak-anak sentuhan selamat dan tidak selamat
3) Ibu bapa juga perlu mengenalpasti lima (5) orang yang dipercayai oleh anak-anak agar anak-anak boleh berkongsi masalah
4) Ibu bapa perlu mengenalpasti simptom pada anak – tanda awal adalah seperti muntah, loya, sakit perut

Selain daripada itu, penulis turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja. Pusat-pusat asuhan ini perlulah sentiasa dipantau oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Pantauan yang dilakukan juga seharusnya merangkumi keseluruhan aspek termasuklah kajian latar belakang pengasuh yang diambil. Penulis turut menitipkan nasihat kepada ibu bapa agar jika perkara ini terjadi kepada anak-anak, laporan polis perlu dibuat dengan segera. Ini adalah penting bagi menjaga keselamatan anak tersebut. Secara tidak langsung, dengan laporan polis itu juga ia dapat mengelakkan daripada pelaku mencari mangsa lain. Akhir sekali, anak tersebut juga perlu dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Sebagai kesimpulan, penulis telah mendedikasikan buku ‘Matron, saya nak resign’ ini khas kepada ibu dan bapa yang pernah berhadapan dengan situasi ini di mana anak-anak pernah menjadi mangsa gangguan seksual. Sejujurnya, ibu dan bapa ini juga perlu diangkat sebagai survivor apabila mereka terpaksa berhadapan dengan situasi yang sukar ini bersendirian. Harapan penulis agar buku ini dapat memberikan motivasi dan rujukan kepada ibu bapa yang terkesan dengan musibah ini agar mereka tidak berasa keseorangan dan terus bangkit mengharungi cabaran.

Share this :