Bersempena dengan Hari Wanita Sedunia 2021, Perpustakaan UTM telah menganjurkan satu sesi K-Sharing pada 14 Mac 2021 dengan bingkisan menarik bertajuk Kepok Lekor di Bumi Ireland. Sesi ini menampilkan Puan Fatimah Rashid, seorang anak Malaysia yang telah berjaya sebagai seorang usahawan di Ireland dengan bisnes keropok lekornya. Moderator bagi sesi kali adalah Puan Khairulbahiyah Yaakub, Ketua Seksyen Perkhidmatan Maklumat & Penyelidikan, Perpustakaan UTM.


Puan Fatimah Rashid telah mengusahakan perniagaan keropok lekor beliau yang dijenamakan sebagai Keropok Lekor Abeng Ireland. Beliau sekeluarga berhijrah ke Ireland pada 2016 demi untuk mendapatkan pendidikan terbaik untuk anak-anaknya, terutama untuk dua orang anaknya yang telah disahkan menghidap penyakit Asperger’s Syndrome.


Berbekalkan semangat dan tawakal yang tinggi, beliau bertekad membantu keluarga menjana pendapatan sementara sang suami berusaha mendapatkan pekerjaan tetap di Ireland. Kebetulan pada ketika itu,  kerajaan Ireland menawarkan bantuan geran kepada usahawan kecil yang ingin memulakan pernigaan. Maka Puan Fatimah telah menggunakan peluang yang ada sebaiknya.


Idea untuk memulakan perniagaan keropok lekor tercetus apabila beliau sekeluarga berkunjung ke sebuah bazar yang menempatkan ramai peniaga Melayu dari Malaysia. Di situlah beliau berjumpa dengan seorang peniaga yang menjual keropok lekor secara ‘pre-order’. Maka bermulalah perniagaan Keropok Lekor Abeng secara serius.

Puan Fatimah Rashid juga aktif dalam aktiviti badan-badan amal di Ireland bersama kumpulan-kumpulan minoriti di sana dan membentuk sebuah kesatuan yang utuh. Sedikit sebanyak pengalaman dan perkongsian itu telah membina semangat juang yang tinggi dalam diri. Puan Fatimah juga turut diuji dengan  anaknya yang menghidap penyakit Asperger’s Syndrome. Dugaan ini mendidik beliau untuk redha dan terus berusaha dalam memberikan pendidikan yang terbaik kepada anak-anak istimewanya.  Puan Fatimah juga merupakan seorang penulis yang telah menerbitkan ebook sendirinya dan bakal menerbitkan sebuah buku fizikal bersama 32 orang penulis lain di bawah seliaan penulis terkenal Puan Sri Diah.


Kesungguhan Puan Fatimah Rashid untuk membina kejayaan dalam kehidupan adalah sesuatu yang cukup membanggakan. Beliau juga berjaya membuktikan bahawa wanita mampu melangkah berani dan bijak dalam membuat pilihan demi mengecapi kejayaan. Justeru, semangat Puan Fatimah Rashid adalah cerminan kepada kekuatan wanita dalam menggapai impian demi kebahagian insan tersayang.

 

 

Share this :