Penutup kepada program sambutan Hari Wanita 2021 dibawakan sesi bicara karya yang telah berlangsung pada 16 Mac 2021 jam 11.00 pagi dengan tajuk “Work-life of women in Malaysia: Issues and challenges”. Buku ini merupakan hasil suntingan panel jemputan PM. Dr. Norhalimah Idris dan Dr. Rabeatul Husna Binti Abdull Rahman dari Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azaman Hashim (AHIBS), UTM.

Berkongsi tentang hasil dapatan kajian yang dijalankan serta fakta-fakta yang sangat terperinci dan menarik mengenai work-life balance yang merangkumi empat komponen iaitu keluarga (Family), kerjaya (Career), kesihatan (Health), dan rakan (Friends). Bagi mendapatkan keseimbangan dalam kerja dan kehidupan, ke empat-empat komponen tersebut perlulah dijaga dan dibawa bersama oleh setiap individu yang bekerja.

Menyokong kepada keempat-empat komponen tersebut, PM Dr Norhalimah telah berkongsi fakta menarik tentang perkara yang dibincangkan. Merujuk kepada satu artikel di akhbar The Star pada 14 Januari 2020 yang menyatakan bahawa pekerja di Malaysia terlalu terbeban dan mempunyai tahap keseimbangan kerja dan kehidupan terburuk di dunia. Malah Khazanah Research Institute, dalam satu artikelnya pada 3 Disember 2020 juga ada menyatakan tentang “Ketidakseimbangan Sosial dan Kesihatan di Malaysia”. Artikel tersebut mengatakan lebih daripada satu perempat dari semua pekerja di Malaysia menderita akibat masalah kesihatan mental. Kajian juga mendapati tempat kerja adalah salah satu faktor terbesar yang menentukan kesihatan seseorang. Di dalam satu kajian “Best Cities for Work-Life Balance 2020” yang telah dijalankan oleh pakar keselamatan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, bandar Kuala lumpur menduduki tempat ke-47 dari 50 bandar utama yang mencatatkan purata masa terpanjang untuk bekerja dan berulang alik dalam tempoh seminggu (52 jam). Kajian ini turut melaporkan 21% daripada penduduknya terlalu banyak bekerja (didefinisikan sebagai bekerja lebih dari 48 jam seminggu).


Apabila diajukan soalan berkaitan persepsi mengenai keseimbangan kerja dan kehidupan, PM Dr. Norhalimah membandingkan persepsi wanita bekerja  dalam masyarakat Jepun dan Malaysia. Di Jepun, wanita yang sudah berkahwin dan mempunyai anak dianggap tidak mempunyai kecekapan dan tidak boleh memberi komitmen terbaik kepada majikan / syarikat. Disebabkan hal itu, wanita bekerja di Jepun adalah rendah (20-30%) berbanding lelaki. Ia juga menjadi faktor yang menyebabkan kebanyakan wanita Jepun berkahwin lambat dan jarang mempunyai anak seawal usia perkahwinan. Manakala di Malaysia, persepsi terhadap wanita adalah setinggi mana pelajaran mereka, akhirnya ke dapur juga tempatnya. Wanita hanya berperanan sebagai suri rumah yang menyediakan setiap keperluan isi rumah. Namun persepsi ini perlu diubah kerana kebanyakan wanita masa kini telah lama mengorak langkah mencipta kejayaan setanding kaum lelaki dan bukan hanya sebagai suri di rumah.


Keseimbangan akan melengkapi kehidupan seorang wanita dengan adanya sokongan daripada ahli keluarga, kerjaya, kesihatan dan rakan-rakan. Kita perlu berubah dengan mendidik masyarakat dalam memastikan setiap keperluan dan tanggungjawab dalam rumah dilakukan bersama-sama seterusnya mewujudkan sebuah keluarga yang harmoni.

Share this :