Siri keempat program Read & Relax di Perpustakaan UTM Johor Bahru telah dijalankan pada 18 Mac 2021 dengan membawakan dua orang pengulas iaitu Puan Nor Kamsiah Binti Manan, Pegawai Tadbir daripada Sekolah Pengajian Siswazah, UTM. Manakala pengulas kedua iaitu Puan Nursyazwani Binti Aznan yang merupakan seorang Pegawai Sains daripada Pusat Pengurusan Makmal Universiti, UTM.
Pengulas pertama iaitu Puan Nor Kamsiah Binti Manan telah berkongsi tentang kandungan sebuah buku yang bertajuk Beauty Sick: How the Cultural Obsession with Appearance Hurts Girls and Women hasil karya Renee Engeln. Buku yang ditulis oleh seorang profesor psikologi Northwestern University ini mendedahkan bagaimana budaya obsesi kepada penampilan wanita merupakan satu perkara yang merosakkan kemampuan wanita untuk maju. Wanita muda hari ini menghadapi sesuatu yang membimbangkan dalam hal kecantikan. Mereka berada dalam keadaan dilema dengan diri sendiri yang mana mereka tidak mahu untuk menjadi cantik seperti Barbie, tetapi mereka disogok dengan budaya yang mewajibkan wanita supaya kelihatan cantik.
Tidak salah untuk menjadi cantik tetapi jangan jadikan kecantikan itu menjadi halangan dalam melakukan sesuatu. Pengulas menyarankan kita sebagai wanita perlu menyokong di antara satu sama lain. Kita tidak sepatutnya melihat kecantikan itu hanya pada fizikal semata tetapi juga dalaman. Jangan sampai ia menjadi beban dari segi masa, menguasai pemikiran kita dan membahayakan diri kita sendiri.
Manakala pengulas kedua pula iaitu Puan Nursyazwani Binti Aznan telah berkongsi cerita tentang sebuah buku yang bertajuk The Spiritual Strength in Our Scars: Emerging From Personal Struggles With Resilience hasil karya Liyana Musfirah. Buku ini membicarakan tentang bagaimana kita sering berpura-pura gembira dan bersikap berani di khalayak walaupun pada hakikatnya kita sedang menanggung keperitan demi bertahan dalam perjuangan atau kesukaran. Adakah kita dianggap kuat jika kita tidak pernah merasai jatuh ke tanah?. Pengulas menjelaskan bahawa di dalam buku ini, penulis membawa pembaca dalam perjalanan reflektif untuk mengetahui kekuatan yang muncul dari setiap episod yang menyakitkan. Buku ini menjurus kepada bagaimana kita mensyukuri apa yang Tuhan berikan kepada wanita. Kekuatan dan ketahanan untuk mengurus emosi, rohani, dan fizikal.
Setiap individu perlu sedar akan kekuatan diri sendiri dan gunakan kekuatan itu untuk menempuh masa depan yang lebih baik. Pengulas juga mengingatkan agar wanita jangan terlalu lemah dengan meletakkan ketidakadilan pada diri sendiri. Sedangkan pada hakikatnya wanita itu juga layak untuk diangkat dan dihormati. Kenal dan tahu kekuatan diri, serta menghargai diri sendiri. Jangan biarkan wanita tertekan dengan stigma masyarakat sekeliling. Walaupun buku ini berbahasa inggeris, namun pengulas menyatakan bahawa penggunaan perkataannya amat mudah untuk difahami dan sesuai untuk dibaca oleh semua golongan.