Perpustakaan UTM dengan kerjasama Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) telah menganjurkan satu sesi K-Sharing bertajuk ‘Lelah Menjadi Lillah: Kerjaya Sebagai Frontliners’ pada 31 Mac 2021 bersempena dengan Hari Kokurikulum Mingguan UTM . Program ini diadakan secara atas talian menerusi Facebook Live Perpustakaan UTM.

Panel jemputan adalah Encik Muhammad Afdhal bin Abdul Razak, Pegawai Keselamatan, Bahagian Keselamatan, Jabatan Pendaftar UTM manakala Encik Mohamad Admin bin Sadali, Pembantu Pustakawan, Jabatan Perpustakaan UTM sebagai moderator.

Di awal perkongsian, penceramah memberi penerangan mengenai fungsi dan peranan Bahagian Keselamatan UTM. Secara umumnya, Bahagian Keselamatan mempunyai empat unit iaitu Unit Kawalan Am, Unit Trafik dan Lalulintas, Unit Siasatan dan Unit Risikan berfungsi menguatkuasakan undang-undang di UTM. Setiap unit mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing bagi menyokong dan memastikan warga universiti dalam keadaan selamat dan terkawal dalam menjalankan tugasan seharian.

Seterusnya penceramah berkongsi pengalaman staf keselamatan semasa pandemik COVID-19 di mana  Bahagian Keselamatan terlibat di dalam program ‘bring students home’ iaitu proses penghantaran pulang pelajar ke negeri masing-masing dan turut bertanggungjawab menjaga keselamatan pelajar di Pusat Isolasi UTM. Bahagian Keselamatan memainkan peranan penting dalam memerangi pandemik COVID-19 di mana pasukan keselamatan bertanggungjawab melaksanakan pemeriksaan suhu kepada warga UTM, pelajar serta pelawat di hadapan pintu masuk UTM, menyediakan SOP masuk ke dalam kampus, cabaran dihadapi semasa pandemik serta penambahbaikan yang telah dilakukan.

Di akhir program, penceramah mengingatkan agar semua warga universiti mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan supaya usaha yang digerakkan bersama ini dapat memutuskan rantaian pandemik COVID-19.

Share this :