Sinergi Perpustakaan UTM, Pusat Islam UTM dan Persatuan Pustakawan Malaysia-Kumpulan Selatan (PPMKS) telah merealisasikan program khidmat masyarakat di Madrasah Tahfiz Al-Jauhar, Kota Tinggi, Johor. Hebahan berkenaan pengumpulan dana pembangunan perpustakaan madrasah telah dibuat melalui emel kepada staf perpustakaan. Dana ini juga sedikit sebanyak menyokong pembangunan fasiliti, bahan bacaan serta aktiviti pembudayaan ilmu perpustakaan.

Perpustakaan UTM turut membuat lawatan ke Perpustakaan Madrasah Tahfiz Al-Jauhar bagi meninjau dengan lebih dekat kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan seperti ruang perpustakaan, koleksi serta sistem pengurusan bahan seperti proses peminjaman dan pemulangan bahan. Di kesempatan ini,  Perpustakaan UTM turut memberikan input serta cadangan dalam mengurus perpustakaan dengan lebih efektif dan efisyen.

Sejumlah 1000 naskhah buku telah disumbangkan oleh Persatuan Pustakawan Malaysia (Kumpulan Selatan) selain sumbangan wang tunai sebanyak RM850.00 hasil sumbangan individu. Pusat Islam UTM yang turut bersinergi dalam program ini menyumbangkan barang keperluan harian seperti beras, minyak, biskut, gula dan lain-lain. Hasil sumbangan ini telah diserahkan kepada kepada pihak madrasah pada 7 April 2021 (Rabu).

Semoga usaha ini dapat membantu pihak madrasah dalam mengimarahkan budaya membaca di kalangan pelajar dan memberi manfaat yang berkekalan di masa hadapan.

Share this :