Jabatan Perpustakaan dengan kerjasama Ibnu Sina Institute for Scientific and Industrial Research UTM telah mengadakan program k-sharing ‘GoSwiet Journey: From Research & Development To Commercialization’ pada 11 April 2021 secara langsung menerusi Facebook Perpustakaan UTM. Panel jemputan ialah Prof. Madya. Dr. Liza binti Md. Salleh dari Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Tenaga, Universiti Teknologi Malaysia. Beliau merupakan pengasas Goswiet dan juga Pengarah Urusan Syarikat HA Southern Global Sdn Bhd. Manakala moderator program ialah Dr. Nur Izyan binti Wan Azelee dari Sekolah Kejuruteraan Kimia & Kejuruteraan Tenaga, Universiti Teknologi Malaysia.

Panel berkongsi mengenai latar belakang kajian penyelidikan beliau dalam penghasilan kapsul dari biji buah tunjuk langit. Penyelidikan ini mengambil masa tujuh (7) tahun dan beliau telah berjaya menghasilkan dua produk iaitu GoSwiet Tunjuk Langit Plus Soft Gel dan Goswiet Swiet Derm Hand & Body Cream. Penyelidikan ini bermula pada tahun 2013, di mana beliau telah menghasilkan sebanyak dua belas (12) kertas kerja, harta intelek seperti tanda dagang (trademark) serta pelbagai artikel mengenai biji buah tunjuk langit. Panel menzahirkan rasa syukur kerana projek ini ditaja sepenuhnya dari geran penyelidikan Research University UTM. Panel turut berkongsi cabaran yang dihadapi dalam proses mengkomersialkan produk ini dan bagaimana beliau mengatasi cabaran tersebut.

Antara kebaikan dan keistimewaan produk GoSwiet Tunjuk Langit Plus Soft Gel adalah ianya kaya dengan flavonoid, saponin dan beberapa vitamin seperti vitamin A yang baik untuk kesihatan. Dalam kajian beliau juga telah membuktikan terdapat omega 6, omega 9 dan omega 3 serta B-Sitosterol lemak baik dari tumbuhan. Selain itu, kajian juga membuktikan antidiabetic 94%, dan sangat baik untuk penyembuhan luka. Minyak formulasi soft gel halal ini ditambahkan dengan minyak zaitun dara yang banyak khasiat untuk kawalan kencing manis, kawalan kolestrol, rawatan luka dalam atau luaran, kawalan darah tinggi, kawalan migrain dan kelancaran darah.

Pencapaian tertinggi yang dicapai oleh produk ini telah memenangi dua pingat emas dalam pertandingan antarabangsa Pencipta19 “Innovation Beyond Imagination” Malaysia dan Pertandingan Seoul International Invention Fair (SIIF) 2019. Di akhir program panel berkongsi pelbagai tips dan kaedah cara pengambilan produk yang bersesuaian mengikut kadar yang betul bagi memastikan kesihatan pengguna terpelihara.

Share this :