Bagi menyebar luas pengetahuan kepada umum berkenaan bidang Sains Terbuka atau Open Science dalam perspektif perpustakaan, sekali lagi Jabatan Perpustakaan UTM membawakan sesi K-Sharing yang bertajuk Open Science : LIbrarians’ Roles and Opportunities pada 12 April 2021(Isnin), jam 11.00 pagi. Sesi ini dikendalikan oleh Puan Khairulbahiyah Yaakub, Ketua Seksyen Perkhidmatan Maklumat & Penyelidikan selaku moderator. Panel jemputan kali ini adalah Dr. Yanti Idaya Aspura Mohd Khalid, Pensyarah Kanan, Jabatan Perpustakaan & Sains Maklumat, Fakulti Sains Komputer & Teknologi Maklumat, Universiti Malaya dan Encik Md. Razib Karno, Ketua, Seksyen Automasi, Jabatan Perpustakaan UTM, Universiti Teknologi Malaysia.

Peranan perpustakaan di dalam bidang Sains Terbuka atau Open Science ini telah banyak dibincangkan di pelbagai platform. Pada 2017, platform Sains Terbuka di negara-negara Eropah  dibangunkan dengan sistematik dan teratur di bawah kuasa-kuasa perundangan dan eksekutif kerajaan yang dikenali sebagai European Open Science Cloud (EOSC). Di Malaysia, kesedaran tentang Sains Terbuka telah mula berkembang malahan sedang menuju ke arah platform yang lebih berstruktur. Universiti awam melalui perpustakaan akademik telah bergerak ke arah Sains Terbuka melalui kewujudan Institutional Repository (IR) sejak dari tahun 2007 lagi. Pada 2020, kerajaan Malaysia di bawah inisiatif Sektor Perancangan Strategik dan Antarabangsa (PSA) telah memperkasakan sebuah platform kolaborasi strategik yang dinamakan sebagai Malaysia Open Science Platform (MOSP). Menurut Dr. Yanti, MSOP dengan kerjasama lima Universiti Penyelidikan di Malaysia telah melaksanakan satu projek rintis dengan melatih sekumpulan pustakawan terpilih sebagai data stewards. Pustakawan kini bukan hanya berperanan sebagai curator dan cataloguer of knowledge yang mahir dalam webometrik dan metadata tetapi juga sebagai the active creator of knowledge. 

Menurut Dr. Yanti lagi, peranan pustakawan akan kekal relevan. Walaupun semua maklumat kini boleh dicapai secara dalam talian namun pustakawan berfungsi sebagai penasihat atau pemudah cara yang membantu pengguna dalam mendapatkan maklumat yang tepat dan cepat. Data-data penyelidikan berstruktur yang disimpan oleh perpustakaan boleh digunakan semula dan sangat berharga di masa hadapan.

Encik Md Razib Karno pula menyatakan bahawa platform Sains Terbuka telah dimulakan seawal tahun 2007 (khusus kepada UTM) oleh pustakawan yang terlibat dalam teknologi maklumat dan boleh dianggap antara yang terawal dimulakan di Malaysia. Justeru, Sains Terbuka boleh dikatakan sebagai kesinambungan daripada usaha projek akses terbuka yang telah dilaksanakan sebelum ini. Beliau juga menekankan aspek teknikal dalam pembangunan Sains Terbuka di mana beliau menyatakan keperluan kepada penyediaan data yang lebih berstruktur untuk kemudahan akses data tersebut di kemudian hari. Pustakawan juga memerlukan gandingan tenaga pakar pegawai teknologi maklumat dalam menyediakan platform yang mampan untuk Sains Terbuka. Secara jelas, beliau berpendirian bahawa data yang hendak dipersembahkan wajar diuruskan oleh kumpulan pakar yang mahir dalam pengurusan data penyelidikan iaitu pustakawan. Sekiranya data tersebut tidak diurus dengan baik, pustakawanlah yang akan dipertanggungjawabkan di atas kecelaruan data. Pustakawan perlu versatil dan sentiasa bersedia menyahut cabaran untuk menongkah arus kebiasaan.

Encik Md Razib menyatakan bahawa MOSP telah menggubal polisi dan sedang membangunkan ‘architecture’ dalam pembinaan platform Sains Terbuka. Salah satu elemen berkaitan Open Science adalah ‘Future of Scholarly Communication’ yang mana ia berkait rapat dengan perkongsian dapatan atau penerbitan penyelidikan secara terbuka. Dan pada satu ketika dahulu, dunia kepustakawanan menyaksikan percambahan platform akses terbuka dan repositories dalam kalangan universiti awam. Secara tidak langsung, kejayaan pembangunan platform akses terbuka yang berstruktur di Malaysia telah memberi kelebihan kepada perlaksanaan Sains Terbuka kerana pengurusan data serta maklumat penyelidikan telah diuruskan sebaiknya. Begitu juga dengan kesediaan Perpustakaan dalam menerokai inisiatif Research Data Management yang merupakan antara komponen utama Sains Terbuka.

Menyentuh kepada konsep citizen science, Dr. Yanti menerangkan bahawa ia lebih kepada penglibatan para penyelidik bersama komuniti  dalam aktiviti penyelidikan yang dijalankan. Konsep Citizen Science  berupaya memasyarakatkan penyelidikan di mana keterlibatan masyarakat dapat merangsang ruang intelektual dan hasil penyelidikan dapat dikongsi secara terus kepada masyarakat dalam bentuk teknologi, pengetahuan dan peralatan.

Encik Md Razib berpendapat bahawa inisiatif Open Science ini dapat mengangkat profesion kepustakawanan di mata ramai pihak kerana kemahiran dan pengetahuan yang dimiliki khususnya dalam bidang pengurusan maklumat dan data penyelidikan yang sistematik. Malah, beliau juga berpesan bahawa pustakawan tidak perlu merasa rendah diri dan terus mengorak langkah untuk kekal proaktif dan versatil.

Share this :