Siri kelima program Read & Relax di Perpustakaan UTM Johor Bahru telah dijalankan pada 15 April 2021 (Khamis) dengan membawakan dua orang pengulas iaitu Dr. Norazwa Binti Yeop Kamarudin, Pegawai Psikologi, Pusat Kerjaya UTM dan Puan Siti Fawziah Binti Mohd Noor, Pegawai Sains, Pejabat Persekitaran, Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan, UTM Johor Bahru.

Dr. Norazwa Binti Yeop Kamarudin mengulas buku bertajuk The 10 Habits of Happy Mother

Pengulas pertama iaitu Dr. Norazwa Binti Yeop Kamarudin telah berkongsi tentang sebuah buku bertajuk The 10 Habits of Happy Mother karya Meg Meeker. Pengulas amat tertarik dengan buku ini kerana sikap skeptikal para ibu yang menginginkan kehidupan anak-anak mereka berjaya di masa hadapan. Keterujaan para ibu zaman ini dalam mencari kesempurnaan menjadi matlamat utama dalam kehidupan. Kesannya, terbitlah perasaan penat dan mendorong kepada ketidakstabilan emosi akibat terlalu mengejar kesempurnaan.  Penulis buku ini mengajak para pembaca untuk bertenang dengan menikmati keseronokan hidup tanpa perlu membuat perbandingan dengan kejayaan orang lain. Pengulas berkongsi beberapa pendekatan yang boleh dipraktikkan dalam mewujudkan elemen keseronokan dalam hidup. Antaranya, luangkan masa untuk diri sendiri bagi menstabilkan dan menenangkan emosi. Selain itu, bersederhanalah dalam kehidupan kerana setiap insan itu unik dan mempunyai kebaikan dan kelebihan tersendiri.

Saudara Akmal Alif Bin Amran selaku moderator program Read & Relax

Pengulas turut berkongsi kata-kata hikmah yang dipetik daripada buku tersebut iatu “hidup ini bukanlah untuk mengagumkan orang”. Buku ini sebenarnya diterbitkan dalam bahasa inggeris yang kemudiannya dialih bahasa ke bahasa melayu dan disesuaikan dengan adat serta pegangan masyarakat Malaysia. Buku yang telah dialih bahasa ini menggunakan ayat Al-Quran sebagai sumber rujukan berbanding buku asal yang menggunakan Mother Teressa. Buku ini bukan terhad untuk wanita sahaja, malah kaum adam juga sesuai untuk menjadikan buku ini sebagai bahan bacaan.

Puan Siti Fawziah Binti Mohd Noor mengulas buku bertajuk Metanoia

Manakala pengulas kedua pula iaitu Puan Siti Fawziah Binti Mohd Noor telah berkongsi tentang sebuah buku yang bertajuk Metanoia hasil nukilan oleh Luqmmann. Pengulas amat tertarik dengan buku ini disebabkan oleh jalan ceritanya yang bersesuaian dengan perjalanan hidup seorang insan. Buku ini menekankan aspek kerohanian yang jelas dalam membina jati diri seorang insan yang ingin mengubah minda, hati, diri atau cara hidup yang diredhai Allah SWT. Mukadimah buku ini tertera kalimah “Bismillah” yang mendorong para pembaca untuk menghayati ilmunya. Buku yang berkonsepkan dakwah ini turut  menyelitkan kisah tokoh-tokoh hebat Islam. Setiap bab dalam buku ini dimulakan dengan kata-kata hikmah. Berbagai pengalaman dan kisah hidup yang menyentuh hati dipaparkan. Ia membentuk keyakinan dan tawakal kita kepada Pencipta. Setiap caturan dan perjalanan hidup adalah aturan Allah yang bertaut hikmah.

Pengulas merasakan buku ini secara tidak langsung memberi impak dalam kehidupannya. Buku ini mampu mengubah cara berfikir seseorang kepada yang lebih baik dengan menyerahkan seluruh kehidupan kepada Allah SWT.

Share this :