Kuala Lumpur telah dipilih menjadi Ibu Kota Buku Dunia pada tahun 2020 dan dikenali sebagai Kuala Lumpur World Book Capital (KLWBC2020). Pada tahun 2021, Tbilisi, Georgia  telah dipilih sebagai  Ibu Kota Buku Dunia. Sempena acara penutup KLWBC2021 dan Hari Jom Baca 10 Minit, melalui jawatankuasa READ@UA yang melibatkan 20 Universiti Awam (UA) di Malaysia telah merencana Program Sehari Bersama Pustakawan Universiti Awam pada 22 April 2021 (Khamis) bertemakan “Sinergi Memperkasa Masyarakat Bermaklumat”.

Setiap UA mempunyai peranan dalam menjayakan program ini. Perpustakaan UTM tidak melepaskan peluang untuk turut sama menggalas tanggungjawab dengan menganjurkan aktiviti sepanjang program ini dijalankan. Bermula dengan live bersama 20 UA bagi melihat suasana jom baca 10 minit yang berlangsung pada jam 11.00 pagi sehingga 11.30 pagi.  Seterusnya ialah tayangan video kesemua 20 UA yang mempamerkan aktiviti yang telah diadakan sepanjang tahun 2020 dan 2021 sebagai tanda sokongan kepada program KLWBC.

Aktiviti Perpustakaan UTM diteruskan lagi pada jam 2.30 petang melalui Program Bicara Karya dengan panel jemputan Tuan Haji Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia mengulas buku tulisan beliau bertajuk Grab Blues: CEO Jadi Pemandu. Selain itu, Perpustakaan UTM turut menganjurkan “Let’s Read Together Photo Challenge” iaitu pembaca memuatnaik gambar situasi atau aktiviti membaca ke media sosial perpustakaan serta “Book Sharing Challenge” iaitu memuatnaik perkongsian buku yang menarik di media sosial. Tarikh akhir kedua-dua pertandingan ini ialah pada 30 April 2021 dan peserta yang menyertai akan menerima sijil elektronik sebagai tanda penghargaan.

Semoga aktiviti yang dilaksanakan ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat sama ada dalam atau luar UTM dan sedikit sebanyak dapat menyubur amalan membaca kerana masyarakat membaca adalah masyarakat berjaya!

Share this :