Read To Lead Sinergi Perpustakaan UTMKL dan UTM International telah merencana program bicara karya “Inspirasi Murabbi” pada 11 Mei 2021 (Selasa), jam 11 pagi secara langsung menerusi Facebook UTM Library Kuala Lumpur dan UTM International Kuala Lumpur. Panel jemputan merupakan penulis buku iaitu YBhg. Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa, Pensyarah Kanan Fakulti Sosial Sains & Kemanusiaan (UTM). Manakala moderator ialah PM Dr. Norhayati Abdullah, UTM International Kuala Lumpur.
Di awal perkongsian, Ustazah Norhafizah menyatakan karya “Inspirasi Murabbi” adalah cetusan idea dan kompilasi pengalaman merangkumi nasihat, pembangunan sahsiah diri, himpunan doa, kisah, tips, dan puisi sepanjang menjalankan amanah sebagai pendidik. Kunci utama dalam menjalankan tugas sebagai pendidik adalah dengan memohon daripada Allah swt dengan sentiasa berdoa untuk mendapat rahmat dan kekuatan dari Maha Esa.
Turut dikongsikan adalah pengalaman Ustazah Norhafizah dan bapanya dalam menguruskan jemaah di Tanah Suci di mana berlaku konflik antara mereka. Tangan dihulur oleh seorang bapa tanda kemaafan kepada seorang anak memberi kesan yang mendalam dan mengajar ustazah untuk sentiasa bersifat pemaaf dan rendah diri. Manakala kisah ibunya pula yang tidak akan melepaskan tangan beliau ketika bersalaman untuk ke sekolah selagi senyuman tidak diukir menunjukkan redha seorang ibu kepada anaknya. Menurut Ustazah Norhafizah, kedua ibu bapanya adalah merupakan contoh yang paling dekat sebagai pendidik yang unggul dalam dirinya.
Ustazah Norhafizah menekankan elemen kelembutan dalam proses mendidik selain sentiasa mendoakan kebaikan dan keampunan anak didiknya kerana redha adalah salah satu faktor kejayaan pelajar. Manakala pelajar pula harus menjaga hubungan baik dengan pendidik serta menghormati mereka. Di akhir program, Ustazah Norhafizah menyimpulkan bagi menjadi pendidik yang baik seorang pendidik sentiasa perlu belajar dan memperbaiki diri dalam menyampaikan ilmu kepada pelajarnya.