Bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini, Bahagian Pendaftar dengan kerjasama Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat serta Perpustakaan UTM Kuala Lumpur dengan berbesar hati telah menjemput ikon dakwah yang tidak asing lagi iaitu Ustaz Mohd Elyas bin Ismail.
Program perkongsian maklumat “Hikmah Aidilfitri Norma Baharu” telah bersiaran pada 2 Jun 2021 (Rabu) melalui aplikasi Streamyard dan dipancarkan secara langsung di Facebook Pejabat Pendaftar UTM Kuala Lumpur dan Facebook UTM Library Kuala Lumpur. Puan Nurul Aizzah binti Ahmad Razali telah menjadi moderator bagi melancarkan perjalanan program.
Menurut Ustaz Mohd Elyas bin Ismail, antara hikmah aidilfitri semasa wabak pandemik Covid-19 yang melanda negara adalah pahala akan diperoleh bagi mereka yang istiqamah menjalankan ibadah tidak kira di rumah mahupun di masjid. Kedua, penurunan statistik kemalangan jalan raya sebagai asbab tiada yang dapat pulang beraya di kampung dan yang ketiga, mendapat pahala dengan mengikuti saranan Nabi iaitu taat dan mendengar saranan daripada pemimpin samada suka ataupun tidak. Dalam hal ini, pahala bagi seseorang jika terus mengikut saranan kerajaan untuk duduk di rumah bagi memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.
Selain itu, perkongsian yang telah dikongsi juga merangkumi topik istiqamah dengan amalan pada bulan Ramadhan dalam bulan Syawal. Antara ciri-ciri istiqamah ialah tidak meninggalkan perintah Allah dalam musibah, tidak meninggalkan perintah Allah dalam kesibukan dunia, tidak mudah mengikut kata-kata orang dan mengikut Al-Quran dan As-Sunnah walaupun susah.
Di akhir perkongsiannya, Ustaz Mohd Elyas bin Ismail telah menyatakan tips agar sentiasa istiqamah dengan amalan baik iaitu dengan mengamalkan walaupun sedikit tetapi secara berterusan. Lebih afdhal lagi sekiranya amalan tersebut dilaksanakan secara berjemaah. Sepanjang program tersebut, Ustaz Mohd Elyas bin Ismail telah berpeluang meraikan dan menjawab beberapa soalan secara langsung daripada penonton di facebook.