Program BookSharing@UTMKL 2021 Siri 11 telah diadakan pada Khamis, 8 Julai 2021. Dua orang penyampai telah dijemput untuk membuat perkongsian dari bacaan mereka iaitu Puan Norhafizah Binti Kamarudin (Penolong Pegawai Latihan Vokasional di Malaysia-Japan International Institute of Technology) dan Puan Nurul Anis Syazwani Bt Ismail (Ketua Jururawat di Pusat Kesihatan UTM) manakala moderator bagi program kali ini ialah Cik Syakira Ilmi Binti Sa’adon, yang merupakan pelajar praktikal dari UiTM Puncak Perdana, Shah Alam, Selangor.Puan Norhafizah Binti Kamarudin telah memulakan perkongsian beliau dengan memilih buku yang bertajuk Urus Rumah With Hani yang ditulis oleh Dr. Hani Mynis. Menurut beliau, buku ini cukup sinonim dengan kehidupannya sebagai seorang wanita kerana ia sarat dengan ilmu pengurusan rumah tangga, pengurusan makanan dan pengurusan kewangan yang berdasarkan pengalaman penulis melalui tauladan serta tunjuk ajar daripada kedua orang tuanya. Penulis menyatakan, sekiranya kita mengetahui teknik pengurusan rumah yang efektif dan sistematik, kerja-kerja mengurus rumah tidak menjadi satu tekanan dan perkara yang memenatkan.

Di dalam buku ini, penulis telah berkongsi beberapa tips pengurusan makanan serta tips membeli sayur-sayuran dan buah-buahan. Bagi pengurusan makanan, perancangan pemilihan menu dah penyediaan bahan adalah perkara yang penting bagi menjimat masa dan tenaga individu. Strategi penyediaan awal bahan masakan juga antara tips beliau dalam penyediaan makanan yang lebih efektif dan pantas. Selain itu, cara penyimpanan bahan untuk kekal segar dalam jangka masa yang lama turut dikongsikan oleh penulis.

Di akhir perkongsian, penyampai berpendapat bahawa keperluan merancang dan mengurus adalah perkara yang amat penting bagi memastikan pekerjaan yang dilaksanakan tidak menjadi suatu tekanan dalam diri setiap individu.

Program diteruskan dengan Puan Nurul Anis Syazwani Bt Ismail dengan buku pilihan beliau yang bertajuk Men Are From Wars, Women Are From Venus yang ditulis oleh John Gray. Menurut beliau, penulis menggunakan metafora alam iaitu planet Mars (Marikh) dan Venus (Zuhrah) bagi menerangkan konflik-konflik yang biasa berlaku antara lelaki dan perempuan.


Sebagai seorang yang berpengalaman dalam memberi khidmat kaunseling, beliau berkongsi panduan bagaimana kita boleh mengatasi perbezaan dalam gaya komunikasi, keperluan emosi dan perilaku bagi memupuk persefahaman antara lelaki dan perempuan. Perbezaan jantina juga memerlukan penyelesaian masalah, pertuturan serta idea dari segi fizikal dan keperibadian yang berbeza.

Oleh kerana itu, penyampai berpendapat bahawa adalah penting bagi setiap individu untuk mempelajari serta memahami perbezaan yang ada bagi memastikan keharmonian dalam sesebuah hubungan dapat dipupuk dan sekaligus melahirkan institusi kekeluargaan yang sihat.

Share this :