Program Membangun Personaliti Unggul (MPU) merupakan program yang dianjurkan oleh Bahagian Pendaftar Kuala Lumpur (BPKL). Program ini bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai positif, memastikan pembelajaran yang berterusan, menerapkan sifat bersemangat dan berwawasan jelas serta sentiasa berusaha mencapai kejayaan cemerlang dalam organisasi. Program ini juga dilihat sebagai satu platform untuk memupuk sifat jati diri dan patriotik serta beretika dan berakhlak mulia dalam kalangan staf di UTM Kuala Lumpur.
Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-64 pada tahun ini, Bahagian Pendaftar dengan Kerjasama Persatuan Alumni UTM, Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat (OSCAKL) serta Perpustakaan UTM Kuala Lumpur dengan berbesar hati telah menjemput salah seorang pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu Mejar Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman TUDM (B), PTU. Beliau merupakan pesara tentera udara yang telah berkhidmat di TUDM dan berpengalaman menghadapi tentangan daripada komunis dalam tempoh perkhidmatannya. Di samping itu, beliau juga merupakan seorang penulis buku dan telah menerbitkan beberapa buah buku antaranya Coretan Xnuripilot (2011), Perbatasan Terhadapan Negara (2013), Sikorsky S61A-4 Nuri: The Old But Faithful Iron Bird (2016), Nuri@Burung Besi Dalam Kenangan (2020) dan Liku-Liku Pertemuan Baling (2021).
Program ini telah bersiaran pada 18 Jun 2021 melalui Streamyard dan dipancarkan secara langsung di Facebook Pejabat Pendaftar / Registrar Office UTM Kuala Lumpur dan Facebook UTM Library Kuala Lumpur. Encik Mohd Ferdaus bin Md Nor telah dilantik sebagai moderator program pada sesi kali ini. Tajuk yang diberikan kepada Mejar Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman TUDM (B) telah disesuaikan dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-64 iaitu “Nuri: Diburu Bukan Pemburu”
Mejar Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman TUDM (B) telah menceritakan sejarah beliau yang pernah mengendalikan pesawat Nuri. Kisah pesawat Nuri bermula dengan ketibaan Nuri yang pertama di Malaysia berkapasiti maksimum penumpang seramai 30 orang pada Januari tahun 1968 dan dua (2) skuadron telah ditubuhkan untuk mengendalikan perkhidmatan mobiliti udara yang merangkumi perkhidmatan Nuri di Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Peranan Nuri tidak hanya tertumpu kepada operasi ketenteraan malahan Nuri berperanan dalam pembangunan dan keselamatan negara. Nuri bukanlah pesawat yang dilengkapi dengan kelengkapan senjata tetapi ia hanya berperanan sebagai medium lift helicopter. Namun begitu, pesawat Nuri telah dijadikan sasaran oleh pihak musuh.
Di sinilah bermulanya kisah beliau menghadapi peristiwa tentangan daripada komunis dimana pesawat Nuri yang dikendalikan oleh beliau telah ditembak dan menyebabkan salah seorang anggota skuadron beliau tercedera. Menceritakan detik tersebut, beliau berkongsi perasaan takut dan debaran yang dirasai semasa berhadapan dengan musuh dan akhirnya mereka berjaya melarikan diri daripada cengkaman pihak musuh. Disebabkan peristiwa tersebut, beliau sering memberi penekanan sepanjang ceramah beliau tentang kepentingan generasi masa kini untuk terus mempertahankan keamanan yang telah diperjuangkan oleh generasi pada zaman dahulu supaya keamanan sedia ada dapat dikekalkan pada generasi yang akan datang.
Di akhir ceramahnya, Mejar Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman TUDM (B) telah berkongsikan harapan beliau terutama kepada generasi muda supaya sentiasa memelihara keamanan dan kemerdekaan yang telah dicapai dan tidak memberi peluang kepada penyebaran agenda komunis. Sepanjang program, Mejar Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman TUDM (B) telah berpeluang meraikan dan menjawab beberapa soalan secara langsung daripada penonton di Facebook. Secara keseluruhannya, program ini telah mendapat maklum balas yang baik dan berjaya menarik perhatian bukan sahaja dalam kalangan staf UTM malah orang awam untuk menonton perkongsian tersebut.