Jabatan Perpustakaan UTM kali ini bersinergi bersama Persatuan Wanita Teknologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) atau lebih dikenali sebagai WANGI dalam penganjuran program Bicara Karya pada 9 Ogos 2021. Program kali ini menampilkan individu yang tidak asing lagi bagi warga UTM iaitu Y. Brs. Prof. Dr. Durrishah Idrus, Profesor Hubungan Industri dan Dasar Awam, dari Fakulti Teknologi Informatik Razak, UTM manakala moderator program kali ini ialah Prof. Madya Dr. Noorminshah A.Iahad yang merupakan Timbalan Yang Dipertua WANGI.
Pandemik Covid-19 membari impak yang amat mendalam kepada semua lapisan masyarakat. Ada yang bergelut dengan masalah kewangan termasuklah cabaran emosi dan rohani. Sokongan berbentuk motivasi atau santapan rohani adalah amat penting dan dilihat sebagai suatu perkara yang perlu dititikberatkan untuk menyantuni hati dan akal fikiran ke arah yang lebih stabil dan waras. Dengan berpegang kepada tujuan itu, Prof. Dr. Durrishah telah berkongsi pandangannya berkenaan dengan kehidupan berdasarkan kepada 3 buah buku iaitu Change Your Thinking, Change Your Life karya Brian Tracy, People With Purpose oleh Kevin Murray dan The Source nukilan Tara Swart.
Mengikut pendapat Prof. Dr. Durishah, buku Change Your Thinking Change Your Life karya Brian Tracy menekankan kepentingan mengenal potensi diri untuk mengecapi kejayaan dan pencapaian dalam hidup. Buku ini juga memfokuskan kepada potensi untuk berubah kepada sesuatu yang lebih baik dalam mencapai impian yang dihajatkan. Keberanian untuk keluar dari zon selesa merupakan langkah pertama untuk mengubah dan memperbaiki kehidupan.
Manakala buku People With Purpose oleh Kevin Murray pula menggariskan elemen gaya kepimpinan yang merujuk kepada corak kepimpinan individu berlandaskan niat dan tujuan yang ingin dicapai. Islam juga mementingkan bahawa melakukan sesuatu itu perlu dimulakan dengan niat supaya apa yang dilaksanakan akan beroleh berkat dan pahala di samping pelaksanaanya tepat menuju sasaran yang ingin dicapai.
The Source nukilan Tara Swart pula dikongsikan oleh Prof. Dr. Durrishah berkenaan dengan anugerah teragung yang Allah ciptakan untuk manusia iaitu akal fikiran. Bagaimana keupayaan kita dalam menggunakan sepenuhnya akal fikiran untuk mengubah sesuatu. Prof. Dr. Durrishah menekankan bahawa melalui buku ini kita dapat belajar tentang bagaimana kita perlu mensyukuri nikmat kurniaan akal fikiran ini. Kita bertanggungjawab untuk mengawalnya supaya tidak tercemar dengan pemikiran yang boleh membawa kepada kemudaratan.
Ketiga-tiga naskhah yang dibawakan oleh Prof. Dr. Durrishah adalah berkait antara satu dan lainnya. Fokus ketiga-tiganya merujuk kepada perkara yang sama iaitu hidup berubah kerana adanya tujuan. Tujuan atau matlamat yang jelas menentukan prestasi serta perancangan ke arah kejayaan yang hendak dicapai. Apabila kita mempunyai matlamat yang jelas hasilnya akan lebih memberi kepuasan sebenar malahan hadir dalam bentuk yang tidak dijangka. Segala tindak tanduk bermula dengan niat dan keberanian perlu dipupuk untuk memulakan langkah keramat menuju ke destinasi yang dihajati. Ternyata perkongsian ini sangat menginspirasikan pendengar.