Quarantine Book Sharing @KSJ Siri Kedua telah diadakan secara langsung pada 3 September 2021 dari Facebook Live UTM Library Kuala Lumpur dan Facebook Live JKMKSJ. Program anjuran JKMKSJ dengan kerjasama dari UTM Library Kuala Lumpur telah berhasil memberikan perkongsian yang bernas dan penuh dengan nasihat lantas berjaya menambat hati para penonton, serta memberikan serba sedikit ilmu pengetahuan melalui ulasan yang diberikan daripada pengulas.
The Little Book Of Ikigai adalah tajuk buku pertama yang telah dikongsikan oleh saudara Syahmi Harith Hakim Bin Hamziri. Menurut pengulas, IKIGAI adalah konsep yang secara kasar diterjemahkan oleh orang Jepun sebagai “alasan untuk bangun pagi” kerana itulah rahsia untuk umur yang panjang. Konsep ini telah wujud di Jepun selama berabad-abad dan tertanam dalam kehidupan dan budaya harian orang Jepun. Ikigai akan mengingatkan kita untuk menikmati perkara-perkara kecil dalam hidup, untuk benar-benar memikirkan apa yang membuat anda bahagia dan mendorong anda untuk mengusahakannya, tanpa mengharapkan penghargaan. Buku ini adalah bacaan yang berwawasan dan bermotivasi. Buku ini ditulis dalam bahasa Inggeris yang mudah untuk difahami dan menarik minat pembacanya untuk mengenali lebih dekat dengan budaya Jepun.
Seterusnya pula adalah perkongsian mengenai e-Bulletin the Malaysia Asset and Project Management Association: COVID-19 Managing Asset and Project in The New Norm yang telah dikongsikan oleh Encik Ts. Khairul Zahreen Mohd Arof. Untuk makluman, beliau juga merupakan salah seorang penulis buku tersebut. Menurut beliau, buku ini bertujuan untuk menyediakan platform untuk perkongsian pengetahuan dan pengalaman mengenai isu-isu semasa, amalan, inovasi dan trend pengurusan aset dan projek di kalangan pemain industri, akademi dan penyelidik. Selain itu, buku ini juga merupakan medium untuk mempromosikan dan mendorong penerokaan dan penyebaran pengetahuan dan pengalaman berhubung dengan pengurusan aset dan projek melalui penerbitan kertas. Buku ini sangat padat dengan info terkini dan telah disampaikan dengan baik oleh penulis itu sendiri.
Perkongsian yang santai dan berinformatif ini membuat pendengarnya teruja untuk mendengar sehingga ke akhirnya bagi kedua-dua topik yang dikongsikan pada sesi kali ini. Terima kasih diucapkan kepada saudara Syahmi Harith Hakim Bin Hamziri dan saudara Ts. Khairul Zahreen Mohd Arof atas perkongsian bagi program Quarantine Book Sharing @KSJ siri ini.