Menghadapi corak pembelajaran norma baharu bukan satu perkara yang asing lagi akibat daripada pandemik yang melanda. Namun begitu sejauh manakah pelajar atau pensyarah membina kekuatan “jiwa” saat menghadapi pembelajaran norma baharu ini? Topik ini dikupas melalui sesi perkongsian ilmu pada 20 September 2021 bersempena dengan UTM Library Research Weeks 2021.
Sesi ini menampilkan panel jemputan iaitu Prof. Dr. Siti Aisyah Panatik, Pengerusi, Sekolah Pembangunan Sumber Manusia & Psikologi, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, UTM dan Ustaz Dr. Mohd. Nasir Masroom yang merupakan Timbalan Pengarah, Pusat Islam, UTM.
Pandemik memberi kesan kepada sistem pendidikan dan corak pembelajaran. Secara umumnya, ia harus dipandang dari sudut positif dan menjadi asbab untuk kita lebih berinovatif dan kreatif. Tidak dinafikan bahawa konsep pembelaran norma baharu ini telah mewujudkan kesan isolasi dan kesunyian yang boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal. Tidak semua pelajar ataupun pensyarah yang dapat mengadaptasi situasi norma baharu ini. Ia turut memberi kesan kepada prestasi keseluruhan. Ia merupakan satu cabaran untuk mengekalkan prestasi pelajar terutama kepada mereka yang tidak mempunyai kelengkapan serta capaian internet khususnya pelajar di luar bandar. Pensyarah pula berhadapan dengan cabaran komunikasi sewaktu menyampaikan kuliah. Interaksi hanya berlaku melalui monitor dan tidak dapat melihat ekspresi pelajar secara fizikal.
Kekuatan minda manusia terbahagi kepada dua iaitu minda sedar (10%) dan minda separa sedar (90%). Orang yang berjaya kebanyakkannya menguasai kebolehan menggunakan minda separa sedar. Prof. Dr. Siti Aisyah turut berkongsi beberapa tips mengekalkan ketahanan diri antaranya ialah fleksibel dan keterbukaan, menetapkan matlamat yang jelas, fokus kepada tindakan yang kita boleh kawal, tetapkan rutin, tanamkan minda yang terbuka dan amalkan gaya hidup sihat. Dr Mohd Nasir pula berkongsi dari sudut pandang psikologi islam di mana manusia dilihat dari segi rohani, akal, kognitif, emosi dan tingkah laku. Secara fitrahnya, manusia dijadikan oleh Allah supaya percaya kepada tuhannya. Dan untuk mengekalkan ketahan diri, kita perlu rasional, pandai mengurus emosi, menjaga tingkah laku dan hubungan sesama manusia, serta rohani iaitu hubungan kita dengan tuhan.
Dalam membina ‘antibodi jiwa’ ia perlu dilihat dari sudut psikologi dan agama supaya mudah untuk seseorang itu menetapkan pendirian untuk berubah ke arah yang lebih baik dan sentiasa bersedia menerima sesuatu yang di luar dari kebiasaan. Walau bagaimanapun kemampuan dan penerimaan setiap individu adalah berbeza.