Seiring dengan perkembangan ekonomi dan pembangunan infrastruktur negara, aspek kelestarian alam sekitar juga perlu dititikberatkan. Bersempena dengan UTM Library Research Weeks 2021, Perpustakaan UTM dengan kerjasama Penerbit UTM membawa pendengar menelusuri sebuah naskhah bertajuk “Keseimbangan Alam Sekitar dan Pembangunan Komuniti Johor” dalam program Bicara Karya pada 22 September 2021. Buku ini merupakan hasil suntingan Prof. Dr Zainura Zainon Noor, Pengarah, Pusat Kelestarian Alam Sekitar dan Sekuriti Air (IPASA), UTM yang merupakan panel jemputan untuk program ini.
Demi mencapai matlamat pembangunan ekonomi yang selari dengan kelestarian alam sekitar, penglibatan empat pemegang taruh iaitu universiti, kerajaan negeri, industri dan komuniti amatlah penting. Ianya dilihat dapat memperkasa dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat selari dengan dasar Alam Sekitar Negara (DASN).
Prof. Dr. Zainura berkongsi kandungan naskhah ini yang membincangkan isu pemeliharaan alam sekitar serta sistem pengurusan sisa. Buku ini mengandungi sembilan sub-topik yang mana setiap satunya mewakili hasil kajian penyelidik UTM yang dilaksanakan di bawah program Institut Inovasi Strategik Johor (IISJ) atau kini dikenali sebagai Lembah Inovasi Johor (JIVe).
Antara penyelidikan yang diketengahkan adalah kejayaan aplikasi geospatial yang berupaya memantau masalah tumpahan minyak di pesisir pantai, impak pencemaran udara kepada kesihatan penduduk, pengurusan sisa pepejal di kawasan setinggan, perancangan fasiliti luar bandar untuk pengurusan sisa organik, sistem kompos bokashi di kawasan perbandaran dan sebagainya. Sembilan projek yang dikongsikan dalam buku ini adalah sebahagian daripada kejayaan para penyelidik UTM kepada masyarakat setempat.
Projek penyelidikan ini secara keseluruhannya berupaya memelihara kemampanan dan kelestarian alam sekitar. Semoga perkongsian yang disampaikan dapat memberi manfaat kepada semua pendengar terutamanya dalam aspek pengurusan sisa di rumah atau di kawasan tertentu di samping tanggungjawab dalam memelihara alam sekitar khususnya di negeri Johor.