Program Bicara Karya siri ini merupakan program sinergi diantara Perpustakaan UTM dan Penerbit UTM Press. Sesi perkongsian ini merupakan pelancaran karya terbaru terbitan Penerbit UTM Press iaitu sebuah buku yang berjudul Wooden Wonders: Traditional Malaysian Fishing Boats hasil karya Profesor Thomas Ask dari Pennsylvania College of Technology.

Profesor Thomas Ask amat berpengalaman dalam penyelidikan pembuatan bot dan beliau banyak menjalankan kajian tentang teknologi penghasilan bot di beberapa buah negara. Beliau turut membuat kajian yang melibatkan aspek teknikal dan budaya setempat bagi merungkai senibina rekaan dan binaan bot. Dalam erti kata lain, tradisi pembinaan bot di sesebuah negara adalah amat menarik perhatiannya kerana ia bukan sekadar teknologi dan kejuruteraan, tetapi juga pengaruh kebudayaan sesuatu bangsa itu sendiri.

Beberapa faktor khusus telah diambilkira oleh Profesor Thomas Ask dalam memilih Asia Tenggara sebagai lokasi tapak kajiannya berkaitan pembuatan bot. Menurut beliau, kriteria yang beliau titik beratkan ialah kesan di antara nilai mekanikal dan bukan mekanikal, dan lokasi kajian beliau perlu memiliki kriteria tersebut di mana tradisi silam (bukan mekanikal) dan kaedah moden (mekanikal) digunakan bersama-sama di dalam budaya mereka untuk membentuk sebuah bot. Lawatan beliau ke Malaysia sekitar tahun 1995 menemukan beliau dengan sebuah komuniti pembuat bot di Kuala Terengganu. Penemuan ini telah membuatkan beliau yakin bahawa Malaysia adalah lokasi yang paling sesuai untuk kajiannya atas sebab Malaysia memiliki indikator kemajuan yang kuat berbanding negara jirannya yang lain.

Profesor Thomas Ask juga menjelaskan tentang faktor pemilihan kayu sebagai bahan utama pembuatan bot di Malaysia, iaitu ia berkaitan dengan pengetahuan tradisional yang diwarisi turun-temurun dan lebih dipercayai serta kos yang lebih murah. Beliau juga mendapati faktor mudah dibaiki dan dimodifikasi merupakan salah satu faktor utama pemilihan kayu sebagai bahan utama. Profesor Thomas Ask turut menerangkan bahawa Kayu Cengal merupakan jenis kayu yang biasa digunakan dalam pembuatan bot dan terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi pemilihan kayu itu di dalam pembuatan bot khususnya di Malaysia.

Di samping itu, beliau turut menerangkan tentang teknik-teknik pembinaan bot yang digunapakai oleh jurubina bot di Malaysia yang meliputi elemen-elemen tradisional yang dibantu dengan teknologi moden. Menariknya, Profesor Thomas Ask juga menerangkan tentang beberapa kaedah pembinaan unik yang digunakan oleh jurubina bot di Malaysia dimana ia memerlukan kemahiran yang jitu contohnya seperti penggunaan kayu yang dibengkokkan dengan teknik pembakaran yang spesifik.

Secara keseluruhannya, penerangan Profesor Thomas Ask berkaitan buku ini secara jelas membuktikan bahawa tradisi pembinaan bot oleh jurubina bot di Malaysia amat dipengaruhi oleh ilmu-ilmu tradisi yang diwarisi daripada nenek moyang mereka dan masih diteruskan sehingga sekarang dengan nilai-nilai tambah seperti penggunaan mesin-mesin dan jentera moden yang dapat mempercepatkan lagi proses pembinaan serta memenuhi keperluan semasa.

Share this :