Program BookSharing@UTMKL 2021 Siri 16 telah diadakan pada 21 Oktober 2021 menampilkan dua orang pengulas iaitu Puan Nor Ashikin Binti Hussein, Penolong Pegawai Latihan Vokasional, Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) dan Encik Shamir Nawawi Bin Nasaruddin, Penolong Pegawai Teknologi Maklumat, UTM Digital Kuala Lumpur. Moderator program adalah Puan Noor Ayesha Mohd Ezanee, Pustakawan Kanan Perpustakaan UTM Kuala Lumpur.

Puan Nor Ashikin Binti Hussein mengulas buku bertajuk The Life – Changing Magic Of Tidying Up
Pengulas pertama iaitu Puan Nor Ashikin Binti Hussein memulakan perkongsian dengan memilih buku The Life – Changing Magic Of Tidying Up, yang ditulis oleh Marie Kondo. Pengulas menyatakan seni merapikan atau mengemas ini tidak diperoleh secara semula jadi tetapi perlu dipelajari dengan melakukan kaedah yang betul supaya lebih efektif. Dua kaedah mengemas yang digariskan di dalam buku ialah mengemas setiap hari dan mengemas secara khusus.
Berdasarkan prinsip kaedah Monkari iaitu hanya simpan perkara yang membawa kegembiraan dalam hidup dan sentiasa menghargai barang-barang yang dimiliki. Penulis telah menyediakan satu panduan membuang barang dan mengemasnya mengikut kategori.

Encik Shamir Nawawi Bin Nasaruddin mengulas buku bertajuk Bijak Urus Rumah Sewa
Pengulas seterusnya adalah Encik Shamir Nawawi Bin Nasaruddin yang memilih buku Bijak Urus Rumah Sewa karya Bija Rosly & Fida Jaafar. Menurut pengulas, penulis buku merupakan pasangan suami isteri serta pengusaha syarikat Hartaplus Capital Sdn. Bhd. Oleh itu, buku ini diterbitkan berdasarkan pengalaman penulis sendiri sepanjang mengendalikan pengurusan rumah sewa serta pelaburan hartanah. Padat dengan maklumat berkaitan perjanjian sewa rumah, buku ini juga menerangkan asas-asas untuk pembelian rumah dan cara menguruskan rumah sewa dengan baik.
Sebelum mengakhiri perkongsian, pengulas menyatakan bahawa buku ini dapat dijadikan panduan lengkap bagi pelaburan rumah sewa yang menguntungkan untuk suatu tempoh masa.