Program Librarian’s Talk siri ketiga telah dilaksanakan pada 27 Oktober 2021 secara langsung menerusi Facebook live Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia dan Youtube UTM Library TV. Panel bagi sesi kali ini menampilkan Puan Nabilah binti Jamil, Pustakawan Kanan, Seksyen Galeri manakala moderator ialah Encik Mohd Zaidi bin Othman, Pustakawan Kanan, Seksyen Multimedia.


Di awal sesi, Puan Nabilah menerangkan sejarah kewujudan Galerium UTM. Galerium UTM adalah gabungan perkataan ‘Galeri’ dan ‘Muzium’ yang diilhamkan oleh Naib Canselor ke-3 iaitu Y. Bhg. Tan Sri Datuk Zaharuddin bin Idrus pada tahun 2000. Galerium UTM bertanggungjawab memperoleh, memelihara dan memulihara warisan khazanah UTM yang mempunyai nilai sejarah warisan Universiti, pengajaran, pembelajaran, penyelidikan, dan kesenian bagi menyokong peranan Perpustakaan UTM sebagai Pusat Institusi Pengetahuan Universiti.


Koleksi Galerium terdiri daripada artifak/bahan (organik dan bukan organik) merangkumi mesin, perabot, seramik, peralatan dan perkakasan ICT, gambar, gambar berbingkai, poster, lukisan, fabrik (jubah, lapel, motar board) alat pandang dengar (pembelajaran & pengajaran), peralatan dan perkakasan makmal, dokumen, manuskrip dan sebagainya.


Di dalam perkongsian ini, penceramah turut menjelaskan tentang inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan sepanjang pengwujudan Galerium UTM. Antaranya adalah pembangunan Portal UTM Virtual Gallery, Virtual Tour 360◦, Pameran Maya dan lain-lain. Secara kesimpulan, galeri berfungsi bukan hanya sekadar tempat untuk menyimpan artikel atau bahan–bahan lama tetapi ianya juga berfungsi sebagai tempat rujukan dan juga tempat penyelidikan kepada para pelajar.

Share this :