Siri keempat belas program Read & Relax Perpustakaan UTM Johor Bahru telah berlangsung pada 28 Oktober 2021 dengan menampilkan dua orang pengulas iaitu Puan Liana Basri Binti Basrial yang merupakan Pembantu Operasi di SMK Dato Ali Haji Ahmad, Pontian dan pengulas kedua pula ialah Encik Shakthis A/L Murugiah, Mahasiswa, Sekolah kejuruteraan Kimia & Tenaga, Fakulti Kejuruteraan, UTM.

Puan Liana Basri Binti Basrial mengulas buku bertajuk Ubah Patah Hati Jadi Prestasi

Pengulas pertama iaitu Puan Liana Basri Binti Basrial telah berkongsi tentang sebuah buku yang bertajuk Ubah Patah Hati Jadi Prestasi yang telah dikarang oleh dua orang penulis iaitu Ustaz Addien Abdul Kadir dan Ustaz Dwi Suwiknyo yang merupakan pendakwah bebas dari Indonesia. Buku ini menceritakan tentang lumrah kehidupan manusia yang ditimpa kesusahan tanpa mengira latar belakang individu yang menyebabkan motivasi seseorang menjadi rendah namun buku ini mampu memulihkan semangat yang hilang dan meningkatkan motivasi diri.


Kandungannya bukan sahaja diselitkan dengan kisah-kisah teladan malahan ayat-ayat Al-Quran, Hadis dan mutiara kata turut dinukilkan agar mampu memujuk perasaan patah hati yang dialami oleh seseorang individu. Kandungannya terbahagi kepada 13 bab dan setiap satunya menceritakan tentang perasaan duka yang boleh diubah menjadi sebuah prestasi yang baik.

Encik Shakthis A/L Murugiah mengulas buku bertajuk The Power of NO

Pengulas seterusnya adalah Encik Shakthis A/L Murugiah yang berkongsi tentang sebuah buku yang bertajuk The Power of NO oleh James Altucher dan Claudia Azula Altucher. Buku ini mempunyai lima bab yang memberi pendedahan kepada pembaca mengenai bagaimana untuk berkata tidak terhadap situasi-situasi tertentu. Perkataan ‘TIDAK’ seringkali menjadi perkataan yang sangat sukar untuk diungkapkan, namun pada hakikatnya, perkataan ini sangat adalah satu perkataan yang sangat penting untuk diungkapkan bagi menegakkan hak asasi individu. Seringkali kita mengatakan “Ya” untuk menjawab pada permintaan yang salah atau pada perbuatan yang sia-sia. Walaupun pada hakikatnya jauh di sudut hati kita sentiasa berharap untuk mengatakan  ‘TIDAK’ pada perkara-perkara tersebut.


Secara kesimpulannya, penulis menjelaskan keberanian untuk berkata “TIDAK” kepada sesuatu yang boleh memberi kesan buruk pada kita sebenarnya memberi impak positif pada diri kita sendiri. Kita seharusnya mampu untuk menilai dan mengenalpasti kepentingan yang membawa manfaat atau keburukan yang memberi mudarat apabila mendepani sesuatu perkara atau permintaan dari orang lain. Justeru itu, kita seharusnya bijak dalam mengaturkan kehidupan bagi menjamin hak asasi diri sendiri juga masyarakat secara umumnya.

Share this :