Pade 11 November yang lalu, Program BookSharing@UTMKL 2021 Siri 17 telah diadakan dengan menjemput dua orang pengulas iaitu Cik Noratiqah Binti Ariffin, Jururawat, Pusat Kesihatan Universiti Kuala Lumpur dan Encik Mohd Salleh Bin Mohamed, Penolong Jurutera, Jabatan Harta Bina, UTM Kuala Lumpur (UTM KL). Moderator adalah Puan Sharifah Radhiah Binti Syed Azman, Pustakawan Kanan Perpustakaan UTM KL.
Pengulas pertama berkongsi buku bertajuk #Tips Rumah Pertama yang ditulis oleh Azizul Azli Ahmad. Menurut beliau, #Tips Rumah Pertama merupakan sebuah e-book yang ringkas, menarik dan mudah difahami. Terdapat 80 tips yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan membeli rumah pertama.
Menurut pengulas, buku ini turut memuatkan kaedah pinjaman yang sesuai bagi memiliki lebih dari sebuah rumah serta ciri-ciri rumah yang perlu dititikberatkan seperti lokasi, jenis dan harga rumah tersebut. Seperti yang diketahui umum, rumah yang disewakan mampu menjana kewangan dan memberi pulangan yang lumayan bagi tempoh masa yang panjang. Di akhir perkongsian, penyampai menyarankan bacaan ebook ini sebelum membuat pembelian rumah bagi mereka yang bercadang untuk membeli dan memiliki rumah pertama.
Pengulas seterusnya berkongsi buku Komposisi & Cahaya Termasuk Fotografi Digital yang ditulis oleh Redzuan Ahmad (Pak Wan). Buku ini merupakan sebuah buku panduan dan rujukan fotografi bergambar pertama lengkap di Malaysia. Komposisi dan cahaya merupakan dua elemen utama dalam senifoto yang memberi kesan penting kepada fotografi. Di dalam buku ini turut diterangkan dengan jelas tentang komposisi dan cahaya yang memberi penceritaan serta kesan dramatik pada setiap gambar yang diambil.
Pengulas turut berkongsi tips dalam menghasilkan gambar yang menarik iaitu dengan meneliti komposisi, potongan gambar dan penggunaan latar belakang yang berwarna warni perlu dielakkan untuk menjadikan objek utama sempurna. Secara kesimpulannya, komposisi dan cahaya itu penting dalam teknik penghasilan gambar yang menarik dan ia juga membantu untuk kita memahami penceritaan tentang sesuatu gambar yang dipamerkan.