Perpustakaan UTM amat berbesar hati apabila Masjid Daing Abdul Rahman, Nusa Idaman, Nusajaya menghulur tangan tanda bersinergi di bawah program khidmat masyarakat dalam membangunkan sistem serta perundingan pengurusan koleksi bahan bahan bacaan di Pusat Sumber Masjid.

Program khidmat masyarakat ini adalah anjuran bersama Perpustakaan UTM dan Persatuan Pustakawan Malaysia (Kumpulan Selatan) – PPMKS. Tinjauan tapak dan perbincangan program telah diadakan pada 11 Mac 2021, di Masjid Daing Abdul Rahman bersama ahli jawatankuasa masjid dan pihak perpustakaan yang diketuai oleh Puan Khairulbahiyah Yaakub, Ketua Bahagian, Seksyen Perkhidmatan Maklumat dan Penyelidikan.

Bagi merealisasikan pembangunan sistem pengurusan koleksi, sebuah perbincangan bersama Seksyen Automasi telah dijalankan pada 16 Mac 2021 untuk merangka dan mengenalpasti keperluan modul di dalam pembangunan sistem KOHA Pusat Sumber Masjid. Antaranya modul yang dibincangkan adalah modul katalog, modul peminjaman dan pemulangan bahan dan lain-lain lagi. Proses instalasi sistem KOHA merangkumi penetapan fungsi server, paparan, keselamatan serta ujilari sistem dianggarkan mengambil masa selama dua minggu.

Selain itu, seramai 37 orang sukarelawan terdiri daripada staf perpustakaan UTM telah bertanggungjawab menginput sebanyak 930 rekod bahan bacaan sumbangan ke dalam sistem KOHA, Pusat Sumber Masjid. Proses mengkatalog ini telah dibimbing oleh En. Noor Effendy Hamzah, Pustakawan Kanan melalui Bengkel Katalog Bahan yang telah dijalankan pada 11 April 2021, manakala Klinik Input Bahan pula telah diadakan pada 18 hingga 19 April 2021 bagi membantu pengemaskinian rekod di dalam sistem KOHA, Pusat Sumber Masjid. Proses terakhir telah dijalankan pada 2 November 2021, dengan penampalan stiker barkod pada kesemua bahan bacaan Pusat Sumber Masjid dengan melibatkan pelajar praktikal dan staf Perpustakaan UTM.

10 November 2021 merupakan hari kemuncak Program Khidmat Masyatakat anjuran Perpustakaan UTM bersama PPMKS dengan penyerahan sumbangan bahan bacaan berserta server sistem KOHA kepada pihak pengurusan Masjid Daing Abdul Rahman, Nusa Idaman, Nusajaya. Semoga usaha dan inisiatif yang dijalankan ini, dapat menjadikan masjid sebagai pusat rujukan, perkongsian dan percambahan ilmu yang boleh digunakan oleh masyarakat setempat.

Sekalung penghargaan diucapkan kepada Pustakawan Malaysia (Kumpulan Selatan) – PPMKS dan Syarikat Bit Extreme Sdn Bhd terhadap sumbangan yang diberikan dalam menjayakan program khidmat masyarakat Perpustakaan UTM.

 

 

 

 

Share this :