Walaupun tahun 2021 akan melabuhkan tirainya tidak lama lagi, namun program siri jelajah perpustakaan  tetap meneruskan langkah bagi memacu aktiviti-aktiviti dengan norma baharu di fakulti sebagai memenuhi keperluan warga kampus. Oleh itu, buat julung kalinya Program Siri Jelajah Perpustakaan bersama Pengurusan Fakulti Sains yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Zaiton Abdul Majid, Dekan Fakulti Sains telah diadakan secara dalam talian melalui aplikasi Google Meet pada 18 November 2021.

Pihak perpustakaan mengambil peluang ini untuk membentangkan program-program yang dilaksanakan oleh Jabatan Perpustakaan sepanjang tahun 2020 hingga 2021 selain menjadikan platform ini untuk menyalurkan informasi terkini mengenai perkhidmatan yang disediakan di Perpustakaan UTM bagi menyokong pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan di UTM. Komunikasi dua hala yang belangsung selama dua jam ini, memberi ruang dan peluang kepada semua yang terlibat untuk membincangkan perkara-perkara yang perlu ditambahbaik bagi memastikan perkhidmatan dapat diberikan dengan lebih cemerlang kepada pengguna perpustakaan.

Share this :