Siri ke-enam belas Program Read & Relax Perpustakaan UTM Johor Bahru telah berlangsung pada 2 Disember 2021 dengan membawakan dua orang pengulas iaitu Cik Nurul Najwa Binti Abdullah Zawawi dan Encik Muhammad Hariz Bin Mazni. Mereka merupakan pelajar Sarjana Muda daripada UiTM Kampus Rembau yang sedang menjalani program latihan industri di Jabatan Perpustakaan UTM, Johor Bahru.

Cik Nurul Najwa Binti Abdullah Zawawi pengulas buku bertajuk Seni Mengubah Nasib.

Panel pertama iaitu Cik Nurul Najwa Binti Abdullah Zawawi telah mengulas sebuah buku yang bertajuk Seni Mengubah Nasib hasil karya Charles Saputra yang merupakan seorang penulis dari Indonesia dan buku ini telah diterjemahkan di dalam Bahasa Melayu oleh Mazlia Murat. Buku ini menceritakan tentang tokoh-tokoh genius dunia yang berjaya mengubah nasib mereka menjadi lebih baik sekaligus mendorong kepada berlakunya revolusi dan memberi manfaat besar kepada masyarakat di seluruh dunia. Sesiapa sahaja boleh mengubah status diri kepada yang lebih baik dengan syarat, mereka perlu mendepani proses perubahan dan menghadapi ujian yang mendatang dengan sebaiknya. Buku ini memperincikan keperluan meniru “tabiat harian dan cara belajar golongan genius di dunia” kerana meniru itu adalah sebahagian daripada proses belajar. Buku ini membawa mesej yang mana setiap orang mempunyai tatacara kehidupan yang berbeza serta segala keputusan yang diambil untuk diri sendiri perlu dinilai dari sudut baik buruknya.

Encik Muhammad Hariz Bin Mazni mengulas buku bertajuk History’s Greatest Decisions and The People Who Made Them

Manakala panel kedua pula Encik Muhammad Hariz Bin Mazni telah berkongsi buku yang bertajuk History’s Greatest Decisions and The People Who Made Them hasil karya Bill Price. Buku ini juga, turut memberi gambaran umum tentang sesuatu yang telah diputuskan suatu masa dahulu menjadi asbab kepada perubahan dunia pada hari ini. Sebagai contoh pemimpin daripada kerajaan China mengambil keputusan untuk menerima idea-idea kapitalisma walaupun mereka berfahaman komunisma. Selain itu, turut diceritakan Peter the Great merupakan pemerintah muda Rusia pada zaman dahulu yang berjaya mengubah Rusia menjadi negara yang lebih maju setelah memperkasa angkatan tentera laut dan mengadaptasi teknologi Kerajaan Uthmaniah untuk membangunkan kerajaan Rusia selepas peperangan yang berlaku. Kesimpulanya, jelas menunjukkan bahawa keputusan yang diambil pada masa lampau memberi impak yang sangat tinggi kepada perubahan ekonomi serta pembangunan sesebuah negara pada masa kini.

Share this :