Program bicara karya bertajuk Nirnama anjuran Jabatan Perpustakaan UTM telah diadakan pada 1 Disember 2021 secara langsung melalui Facebook  dan Youtube Live Perpustakaan UTM. Panel Program ialah Encik Azrulnizam bin Zainal, Pembantu Pustakawan, Jabatan Perpustakaan, Johor Bahru dan moderator Puan Nurfarain Daud, Pembantu Pustakawan, Jabatan Perpustakaan, Johor Bahru.

Panel memulakan perkongsian dengan memperkenalkan watak-watak yang terdapat  dalam novel Nirnama seperti Sultan Mansur, Sultan Mahmud, Puteri Sentubong, Puteri Sejenjang, Raja Bersiung, Si Tanggang dan banyak lagi. Nirnama adalah singkatan daripada Nir (dalam bahasa sanskrit bermaksud tiada) sekaligus apabila digabungkan perkataan Nirnama membawa maksud tiada nama. Nirnama hanyalah gelaran kerana beliau tidak mahu dikenali serta untuk mengelakkan diri daripada diburu oleh pihak musuh.

Bahasa yang banyak digunapakai dalam cerita ini adalah bahasa melayu klasik yang diadun menggunakan bahasa istana. Beberapa patah perkataan yang diucapkan seperti murka (marah), pacal (kata ganti nama diri pertama (apabila bercakap dengan raja), jemala (kepala; digunakan ketika menerima kurnia atau menjunjung titah raja). Pantun turut diselitkan di setiap permulaan hikayat dan sebagai menyokong corak penceritaan.

Secara kesimpulannya novel ini memberikan pengajaran kepada pembaca terutama yang beragama Islam bahawa yang benar-benar berkuasa hanya Allah Taala. Oleh itu, apabila seseorang itu menghadapi masalah maka sentiasalah yakin dan bersangka baik denganNya. Islam menyeru umatnya bukan sekadar menjaga hubungan baik dengan Allah malah turut menjaga hubungan sesama manusia. Jika terlalu taksub mengejar aspek kerohanian maka yang dicapai hanyalah keruntuhan jiwa. Selain itu juga, silat dipelajari bukan untuk mempamerkan kegagahan diri dalam pertarungan, malah untuk mempertahankan diri dan berusaha menjaga takwa kepada Allah.

Penulis buku Nirmana iaitu Encik Hilal bin Asyraf turut membuat penampilan istimewa di akhir program berkenaan. Beliau berkongsi pengalaman beliau dalam menerbitkan sendiri buku Nirnama yang merupakan karya beliau yang ke 20.

Share this :