Perpustakaan UTM menyokong penuh Kempen Dekad Membaca Kebangsaan yang dilancarkan pada tahun 2018 dalam merealisasikan Malaysia sebagai negara membaca menjelang 2030. Justeru, penggiatan budaya membaca  telah digerakkan oleh semua Universiti Awam melalui inisiatif READ@UNI. Pada akhir tahun 2018, program Read & Relax diperkenalkan oleh Perpustakaan UTM bagi menyokong usaha berkenaan.

Satu kajian telah dijalankan untuk melihat sejauhmana impak dan keberkesanan program ini terhadap tabiat membaca dalam kalangan staf Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Kajian telah dijalankan menggunakan kaedah kuantitatif secara atas talian. Responden terdiri daripada 158 orang staf UTM yang pernah turut serta dalam program ini sepanjang tahun 2020. Hasil dapatan telah dianalisa menggunakan perisian SPSS. Hasil kajian menunjukkan bahawa program Read & Relax ini mempunyai hubungan yang signifikan terhadap tabiat membaca dalam kalangan staf UTM.

 

Pandemik COVID 19 juga telah memberi nilai tambah kepada perlaksanaan program ini.  Penganjuran program Read & Relax secara dalam talian Webex dan menerusi pelantar media sosial seperti Facebook Live telah berjaya melonjak jumlah penyertaan penonton secara mendadak. Ini membuktikan bahawa budaya membaca berjaya diperkasakan dalam kalangan warga UTM melalui pelbagai platform dan medium yang kreatif dan interaktif. Hasil kajian ini telah membuka ruang penambahbaikan kepada Perpustakaan UTM dalam meningkatkan usaha memartabatkan budaya keilmuan sepanjang hayat.

 

Share this :