Program Knowledge Sharing anjuran Jabatan Perpustakaan UTM buat julung kalinya ditampilkan sedikit berbeza daripada siri-siri sebelumnya. Siri Knowledge Sharing kali ini, bersiaran secara langsung dari luar perkarangan Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah yang dibawakan khas sebagai simbolik penutup program Knowledge Sharing tahun 2021 dan harapan bagi tahun 2022.


Prof. Madya Dr. Mohd Ariffin Abu Hassan merupakan Timbalan Pengarah di UTM International dan namanya tidak asing lagi di UTM lebih-lebih lagi dikalangan pelajar-pelajar antarabangsa. Jawatan beliau yang lebih sinonim dengan dunia pendidikan amat berbeza dengan hobinya iaitu memelihara burung kakak tua spesis Blue dan Gold Macaws yang diberikan nama sebagai Tuah dan Teja.  Nama ini dipilih sesuai dengan karakter mereka yang cantik, bijak, dan megah. Ternyata beliau pernah mempunyai pengalaman dalam memelihara burung kakak tua ini sejak dari kecil.


Beliau menyatakan bahawa spesis ini memerlukan perhatian dan pemilihan makanan yang khusus. Menurut beliau anggaran kos untuk memiliki seekor burung jenis Blue and Gold Macaws ini boleh mencecah sehingga ke RM10,000.00, manakala kos pembelian makanan bagi empat ekor burung miliknya pula dianggarkan sebanyak RM 300.00 sebulan. Beliau turut berkongsi maklumat mengenai sebuah kelab khusus yang dinamakan sebagai Club Free Fly, yang mempunyai seramai 20 orang ahli yang aktif dan melibatkan mereka yang memelihara burung.

Melihat kepada simbolik “disebalik sayap Tuah & Teja” dalam mengangkasa tahun 2022 ialah mereka patuh dan faham atas arahan yang diterima daripada tuannya sendiri yang mana jika dikaitkan dengan kita sebagai penjawat awam khususnya di UTM, kita juga tertakluk kepada arahan pihak pengurusan dalam usaha mendukung Visi dan Misi organisasi. Selain itu, Tuah dan Teja juga mempunyai semangat yang luar biasa untuk menerima ilmu yang baru dan ia seharusnya menjadi contoh kepada kita semua.


Pada dasarnya, semua warga UTM mempunyai peranan masing-masing dalam usaha untuk mengangkat UTM mejadi lebih cemerlang dan gemilang. Kebersamaan dan komitmen daripada semua warga UTM mampu membantu organisasi mencapai matlamatnya, malah mungkin lebih dari itu. Bersama-samalah kita berusaha dengan memberikan khidmat yang cemerlang dalam mengangkasa UTM di tahun 2022. Disebalik kekuatan sayap Tuah dan Teja, itulah simboliknya kekuatan yang ada pada setiap warga UTM.

Share this :