Siri terakhir sesi Read & Relax Perpustakaan UTM Johor Bahru tahun 2021 telah berlangsung pada 30 Disember dengan menjemput Puan Norhayati Zainol Abidin. Beliau merupakan pemilik akaun instagram yatie kitchen dan mempunyai lebih 800K follower. Namanya tidak asing lagi di kalangan pencinta dunia masakan kerana aktif membuat hantaran pelbagai jenis resepi masakan di laman media sosial tersebut.

Puan Norhayati telah menghimpunkan resepi-resepi masakan air tangan beliau sendiri menjadi naskhah buku yang boleh dikongsi bersama dengan pembaca dan peminat beliau.  Beliau telah menghasilkan Koleksi Resipi dan Tips Masakan yang kini telah memasuki edisi yang keempat. Buku edisi pertama dikeluarkan pada 2018 dan yang terkini edisi keempat pada 2021. Kini beliau sedang dalproses menyiapkan edisi kelima yang dijangka bakal dikeluarkan pada 2022.

Bercerita tentang pengalaman, beliau berkongsi yang mana bermula dengan hobi dan minatnya yang suka memasak sejak dari zaman persekolahan lagi menyebabkan beliau ingin menghimpunkan semua koleksi resepi yang beliau ada. Malahan, buku-buku tersebut juga masih beliau gunakan sebagai rujukan untuk masakan harian beliau. Setiap edisi dimuatkan dengan koleksi masakan berasaskan ikan, ayam, daging, masakan barat malah pemanis mulut. Setiap edisi juga memuatkan resepi-resepi yang berbeza.


Sedikit kelainan yang menarik tentang buku Yatie Kitchen adalah kerana persembahan dari aspek penyediaan bahan-bahan masakan adalah diletakkan secara bergambar. Berbeza dengan buku-buku masakan yang lain yang hanya menyenaraikan sahaja bahan-bahan tersebut. Buku-buku ini turut diselitkan dengan tips-tips masakan yang boleh membantu pembaca berjaya menghasilkan masakan mengikut kepada resepi yang disediakan. Puan Norhayati juga mengharapkan bahawa dengan terhasilnya buku-buku ini dapat memberi manfaat kepada pembacanya malah beliau juga mengharapkan agar koleksi resepinya sentiasa dapat diturunkan generasi demi generasi.


Berakhir sesi Read & Relax untuk tahun 2021 dengan harapan agar sesi-sesi telah dibawakan dapat memberi manfaat kepada semua penonton. Ucapan penghargaan juga kepada semua yang sentiasa menyokong program Read & Relax dalam menyemarakkan budaya membaca di dalam kalangan warga UTM khusunya. Selamat berjumpa lagi dalam program pembudayaan membaca 2022.

Share this :