Sempena Hari Kokurikulum Mingguan UTM yang pertama bagi tahun 2022, Perpustakaan UTM (PUTM) telah  menganjurkan program  perkongsian ilmu yang berlangsung secara dalam talian pada 4 Januari 2022 melalui Facebook dan Youtube Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia. Membawakan tema “ My Favourite Book”, program telah menampilkan pelajar latihan industri dari UiTM yang sedang menjalankan latihan industri di Perpustakaan UTM. Manakala moderator juga merupakan pelajar latihan industri iaitu Cik Siti Nurain Zaharudin.

Encik Muhamad Lukman Hakim mengulas buku bertajuk 55 Petua Orang Berjaya.

Panel pertama, Encik Muhamad Lukman Hakim, pelajar latihan industri dari UiTM Rembau memilih buku berjudul “55 Petua Orang Berjaya” hasil karya Dato Dr. Fadzilah Kamsah dan Fazli Yusof. Buku ini memberikan idea untuk mencapai kecemerlangan dalam kehidupan yang bermula daripada keinginan, angan-angan, cita-cita serta usaha untuk merealisasikannya. Turut dimuatkan dalam buku ini ialah kisah-kisah kejayaan yang boleh dijadikan contoh dan panduan bagi mencapai sesebuah matlamat.  Seseorang yang ingin berjaya perlu menjauhkan diri dari sikap negatif, bersangka buruk, malas berfikir dan berusaha serta mudah berputus asa kerana faktor-faktor inilah yang menyebabkan kegagalan seseorang dalam kehidupan.

Cik Nur Aina Aqilah Osman mengulas buku bertajuk Ada Dia Di Hatiku.

Panel kedua, Cik Nur Aina Aqilah Osman, pelajar latihan industri dari UiTM Puncak Perdana berkongsi buku berjudul “Ada Dia Di Hatiku” yang ditulis oleh Nurul Ezzati Bt Abd Wahab. Menurut penulis tidak ada kehidupan yang tiada masalah. Setiap orang pasti mempunyai dugaan dan cabarannya yang tersendiri cuma membezakannya ialah cara menghadapi dan menyelesaikannya. Buku ini menghimpunkan kata-kata motivasi untuk terus bersemangat dalam menjalani kehidupan kerana Allah sentiasa ada bersama hamba-Nya. Hadapi dugaan dengan tenang dan redha kerana setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.


Semoga perkongsian ini memberi manfaat dan memberi semangat untuk terus berjaya mencapai matlamat hidup serta sentiasa berfikiran positif menghadapi apa jua rintangan yang mendatang. Perpustakaan UTM mengucapkan terima kasih diucapkan kepada pelajar latihan industri di atas kerjasama di dalam program ini.

Share this :