Majlis persaraan En. Mohd Nasir Ibrahim, Ketua Seksyen Pengurusan Koleksi telah diadakan pada 30 Disember 2021 jam 12.15 petang secara dalam talian menerusi aplikasi Webex yang dihadiri oleh semua staf Perpustakaan. Beliau telah mengambil keputusan untuk bersara secara pilihan pada tahun 2021 setelah berkhidmat selama 21 tahun. Pn Nor Asikin Mohamad, Ketua Pustakawan UTM telah membuka majlis dengan ucapan penghargaan di atas perkhidmatan dan komitmen yang telah diberikan sepanjang menjalankan tugas di Jabatan Perpustakaan UTM.

Di acara kemuncak majlis, En. Mohd Nasir Ibrahim telah dijemput untuk memberikan ucapan persaraannya. Dikesempatan ini, beliau berterima kasih kepada barisan pengurusan dan staf sokongan Perpustakaan UTM di atas tunjuk ajar dan kerjasama yang diberikan sepanjang beliau perkhidmat di Perpustakaan UTM. Beliau turut menitipkan nasihat kepada warga Perpustakaan agar sentiasa melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi.

Tayangan montaj menelusuri jasa dan khidmat bakti yang dicurahkan beliau sepanjang berkhidmat di Jabatan Perpustakaan UTM dilayarkan sejurus beliau mengakhiri ucapan penghargaan dan terima kasihnya. Tidak ketinggalan ucapan penghargaan daripada dua orang wakil staf dari Seksyen Pengurusan Koleksi iaitu Puan Siti Zaleha Hj Samad dan Puan Siti Anniza Aznan di dalam montaj untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada En. Mohd Nasir Ibrahim atas didikan dan tunjuk ajar sepanjang menjalankan tugas di bawah bimbingannya.

Seluruh warga perpustakan sentiasa mendoakan agar beliau dipermudahkan urusan dan diberikan kesihatan yang baik di samping keluarga tercinta. Selamat bersara!

Share this :